Oleh Ahmad Abd Hamid

“MELAKA Melaka hai kota yang aman
Masyhurlah namamu hai zaman ke zaman”

– Lirik Kota Melaka nyanyian Suhaimi Hamid

SAYANGNYA waktu ini Melaka kurang aman. Ada krisis, ada kemelut. Tetapi bukanlah huru hara besar atau Portugis hendak menyerang semula. Cuma gelora percaturan politik yang menggugat kedamaian negeri Hang Tuah itu.

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menyebabkan kerajaan negeri tumbang. Tentu ada perkiraan bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) berbuat demikian.

Jangkaan mereka akan berlaku perubahan pucuk pimpinan negeri Melaka. Namun sebaliknya pula terjadi. Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.

Ini bermakna Melaka akan menurut jejak Sabah yang mengadakan PRN pada 26 September 2020, dan menjadi negeri kedua mengadakan PRN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Dalam hal ini, jika ada satu aspek yang tidak diambil iktibar daripada PRN Sabah ialah risiko mengadakan PRN ketika kes pandemik Covid-19 masih tinggi.

Sewaktu PRN Sabah diadakan, negeri itu sedang menghadapi gelombang Covid-19. Ditambah dengan keluar masuk ramai ahli politik Semenanjung ke Sabah dan sebaliknya, serta berkumpul ramai menghadiri kempen, Covid-19 merebak dengan pantas.

Menurut laporan, sejak hari pembuangan undi kes meningkat. Sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 12 Oktober 2020 bagi mengekang penularan, kes Covid-19 melonjak kepada 70 peratus. Bukan sahaja angka melonjak di Sabah tetapi juga menular ke Semenanjung.

Melaka akan menghadapi PRN dalam siatuasi sama. Pasti wujud kebimbangan apa yang berlaku di Sabah akan berlaku di negeri itu. Benar, jumlah populasi yang mendapat suntikan lengkap dua dos vaksin Covid-19 sudah menghampiri 90 peratus iaitu sasaran imuniti kelompok atau herd community. Tetapi itu bukan bermakna tiada lagi risiko jangkitan Covid-19.

Dalam membubarkan DUN, Mohd Ali melaksanakan kuasa prerogative dan atas nasihat. Namun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari berpendapat Mohd Ali sewajarnya tidak bertindak terburu-buru membubarkan DUN sebelum mendengar pandangan majoriti ADUN yang tidak bersama kerajaan.

Adly juga berkata, PH berpendapat Sulaiman yang telah hilang kepercayaan majoriti tidak wajar memberi nasihat kepada Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN ke-14.

Turut dipersoal, adakah Sulaiman telah memberi nasihat yang betul kepada Mohd Ali dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19. Adakah juga ditekankan kemungkinan PRU ke-15 diadakan tahun hadapan, seperti pernah dibayangkan oleh mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ertinya tidak lama lagi. Justeru perlukah diadakan PRN sekarang memandangkan tempuh kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN itu tidak lama, kecuali PRU diadakan sehingga tamat tempuh pada 2023 atau DUN Melaka tidak dibubarkan serentak ketika PRU-15.

Pihak yang mahukan PRN diadakan tentu gembira dengan pembubaran DUN. Barisan Nasional (BN) akan melihat ini sebagai testing ground menguji kekuatan mereka dan sokongan rakyat selepas tewas kepada PH dalam PRU-14. Jika keputusan memihak kepada mereka tentu memberi lebih keyakinan menghadapi PRU-15.

Mereka yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, dan pihak PH yang mengharap peralihan kuasa dan bukan PRN, terpaksa menerima kenyataan dan akur kepada pembubaran DUN.

Justeru mereka juga perlu menyinsing lengan menghadapi pilihan raya. Melalui PRN ini akan dapat dinilai dan ditentukan samada mereka tetap mendapat sokongan pengundi seperti dalam PRU ke-14 sehingga berjaya membentuk kerajaan.

Namun lebih penting sebenarnya ialah mendengar dan menghayati rintihan rasa hati nurani rakyat. Apa perasaan melihat gelagat ahli politik sehingga memaksa mereka (rakyat) sekali lagi membuat keputusan di peti undi?

Pernahkah ahli politik terfikir kemungkinan rakyat bukan sahaja bosan dengan perangai mereka tetapi bosan apabila rakyat dijadikan pertaruhan demi tindak tanduk dan kepentingan politik semata-mata. Rakyat merasa dipermainkan.

Mengadakan PRN belum menjamin wujud kestabilan politik di Melaka. Ini kerana tiada siapa dapat menduga apa keputusan PRN nanti. Janganlah sampai roboh Kota Melaka kerana papan di Jawa jauh untuk didirikan!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here