KUALA LUMPUR – Kerajaan sementara Sudah telah merampas aset-aset bernilai berbilion dollar Amerika milik Petronas selepas mendakwa pemilikannya dibuat secara haram ketika pemerintahan bekas presiden negara itu, Omar al-Bashir, lapor sebuah akhbar Turki, Daily Sabah.

Pada tahun 2019, Presiden Omar telah digulingkan oleh tentera negara itu sendiri sebelum setahun kemudian beliau diserahkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk diadili atas pelbagai dakwaan jenayah perang.

Daily Sabah itu yang memetik sumber-sumber dalam laporannya, mengatakan Petronas membantah keras tindakan kerajaan sementara Sudan kerana merampas aset-aset minyak dan gasnya di negara Afrika itu.

Menurut akhbar itu, selepas kejatuhan Presiden Omar, kerajaan sementara Sudan telah meluluskan satu peruntukan undang-undang dan menubuhkan Jawatankuasa Anti-Rasuah dan Mendapatkan Semula Wang yang diperoleh menerusi cara-cara haram ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Ketika menjalankan siasatan terhadap bekas Presiden Omar al-Bashir dan sekutu rapatnya, jawatankuasa itu telah mensasarkan dan mendakwa pelabur-pelabur asing di Sudan serta merampas aset-aset mereka.

Bagaimanapun, maklumat jenayah rasuah yang diperoleh oleh kerajaan sementara Sudan itu tidak dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia, kata laporan yang dipetik portal defencesecurityasia.com.

Petronas dilaporkan telah membuat bantahan keras terhadap tindakan kerajaan sementara Sudan kerana syarikat NPCL milik Petronas merupakan sebuah yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat Sudan dan proses rayuan dilaporkan masih berjalan sehingga kini.

Sumber-sumber yang dipetik oleh akhbar terbabit mengatakan bahawa pelabur-pelabur asing di Sudan termasuk daripada Pakistan, Qatar dan Turki turut berdepan dengan nasib yang sama.

Petronas telah beroperasi di Sudan selama 20 tahun dan telah membantu negara Afrika itu muncul sebagai negara pengeluar minyak dengan melabur berbilion dolar Amerika untuk mencarigali minyak dan gas di negara Afrika itu.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Petronas. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here