GAMBAR: Merck.

Oleh Fetty Rara

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) pada Khamis (7 Okt) menandatangani ‘aku janji’ untuk membeli ubat antiviral Molnupiravir sebagai tambahan kepada kaedah rawatan Covid -19.

Melalui perjanjian dengan syarikat Merck Sharp & Dohme itu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan bersetuju memperoleh sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit COVID-19.

“Keputusan ini dibuat sebagai persediaan kita memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus COVID-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai ‘senjata’ untuk melawan COVID-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam yang lain,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Khairy memaklumkan bahawa Malaysia telah memulakan rundingan perolehan ubat tersebut.

Menurut beliau berdasarkan kajian oleh syarikat berkenaan, penggunaan Molnupiravir mampu menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus, selain berkesan digunakan untuk jangkitan varian COVID-19 lebih ganas, termasuk Gamma, Delta dan Mu.

“Bagaimanapun ingin saya nyatakan di sini bahawa sekalipun ubat Molnupiravir ini berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti,” katanya sambil menegaskan, kerajaan memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit COVID-19 bagi memberi impak yang lebih besar terhadap usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here