Harumanis bantu jana pendapatan UITM Perlis

0
687

ARAU — Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis yang mengambil peluang atas populariti harumanis, dijangka meraih pendapatan RM500,000 hasil jualan lebih 25 tan buah ikon Perlis itu tahun ini, berbanding RM400,000 pada tahun lepas.

Rektornya, Zailuddin Ariffin berkata tahun ini adalah yang keenam harumanis UiTM Perlis dijual di semua 35 cawangan universiti itu di seluruh negara.

“Hasil jualan harumanis digunakan bagi menampung perbelanjaan kampus, dan menjadi antara institusi pengajian tinggi awam di Perlis yang mengusahakan tanaman itu bagi menambah pendapatan universiti,” katanya kepada media selepas melancarkan jualan harumanis UiTM Perlis di Unit Ladangnya di sini hari ini.

Zailudin berkata UiTM hanya memasarkan buah berkualiti premium pada harga RM50 sekotak atau seberat antara 2.2 hingga 2.5 kilogram.

Beliau memberi jaminan harumanis yang dikeluarkan dari ladang UiTM Perlis berkualiti tinggi, kerana melalui proses penyelidikan dan saringan kakitangan dan para pelajarnya.

Katanya UiTM mengusahakan ladang seluas kira-kira 81 hektar dengan pelbagai tanaman dengan sebahagian besar harumanis sebanyak 1,500 pokok.

“Mulai hari ini orang ramai boleh membeli buah itu, di samping dijual bersama pulut dan jus harumanis di pusat jualan UiTM pada hari Isnin hingga Sabtu, dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Pengurus ladang UiTM Perlis, Zulkifli Aswan berkata kira-kira 1,000 pokok telah mengeluarkan buah yang cukup matang dianggarkan seberat lebih 33 tan.

Katanya 500 pokok lagi yang ditanam pada tahun lepas, dijangka mengeluarkan hasil sebanyak RM1 juta dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Kita menyasarkan harumanis UiTM Perlis dijual di semua cawangan UiTM cawangan seluruh negara, namun orang luar juga boleh membeli di pusat jualan kami di sini,” kata Zulkifli.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here