SELAGI konflik PSM dengan bekas ahli gabungan berterusan dan disingkirkan Astaf, semakin sukar skuad negara menyertai Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand pada Februari 2022.

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menetapkan 30 Oktober ini bagi melangsungkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) berhubung draf pindaan Perlembagaan persatuan seperti yang dipersetujui bersama beberapa bekas ahli gabungannya dan Pesuruhjaya Sukan, sebelum ini.

Tarikh itu dicapai dalam mesyuarat khas Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) PSM di sebuah hotel di ibu kota, hari ini yang diadakan secara bersemuka dan dalam talian.

Ketua Seranta PSM, Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, EGM berkenaan mungkin diadakan di Kuala Lumpur walaupun AMT tidak membuat sebarang keputusan mengenainya lagi.

“Dalam EGM itu juga akan tetapkan tarikh mesyuarat agung tahunan (AGM) yang berkaitan pemilihan pucuk pimpinan baharu,” katanya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), kepada BebasNews, hari ini.

WAN MOHD. HUSNI ABDULLAH

Pestans katanya, sudah pun menyertai semula PSM namun dengan syarat tegas untuk bersama-sama dan secara sah meminda Perlembagaannya kerana berpendapat tidak boleh melakukannya selagi berada di luar badan induk kebangsaan itu.

“Kami hanya ikut saranan Pesuruhjaya Sukan (Ibrahim Mohd. Yusof) kerana bagaimana hendak meminda Perlembagaan PSM sekiranya masih bukan ahli gabungannya. Kami masuk balik PSM pun bersyarat.

“Kami juga dengan beberapa ahli gabungan PSM yang sebelum ini keluar PSM, hanya menjawab surat PSM (untuk masuk semula).

“Setahu saya, hanya Selangor – Persatuan Sepak Takraw Selangor – PSS), Sarawak (Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak – PSNS) dan Putrajaya (Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya – Pestap) yang tidak menjawabnya,” katanya.

Pestans meninggalkan PSM pada 21 Mei lalu, menyertai 11 ahli gabungan PSM yang berbuat begitu antaranya Selangor, Sarawak dan Putrajaya ekoran penyingkiran PSM daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Kata Husni, hanya tarikh EGM yang ditetapkan PSM dalam mesyuarat AMT itu tetapi tiada sebarang perbincangan atau keputusan yang dicapai berhubung sama ada menerima atau menolak mahupun mengubah draf pindaan Perlembagaan berkenaan.

“Kami tidak sentuh draf pindaan itu, hanya tetapkan bila EGM akan dilangsungkan,” katanya.

Kumpulan bekas ahli gabungan PSM telah meletakkan syarat pada draf pindaan Perlembagaan bahawa barisan penyandang pucuk pimpinan PSM sekarang, tidak boleh dicalonkan semula pada pemilihan baharu tetapi mereka masih layak untuk mengundi.

Difahamkan AMT secara dalam talian 23 September lalu pada agenda keempat mesyuarat khasnya secara dalam talian, menerima kemasukan semula lapan bekas ahli gabungannya.

Mereka ialah Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Pestans, Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).

Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) pula dibatalkan keahlian PSM pada 2018.

Empat ahli gabungan yang terus setia dengan PSM ialah Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip), Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (Pesenang) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSWPL).

PSM turut mempunyai tiga ahli bersekutu daripada kalangan agensi keselamatan kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

PUCUK PIMPINAN PSM 2018-2021

Pemangku Presiden: Datuk Akramuddin Ab. Aziz
Timbalan Presiden: Datuk Akramuddin Ab. Aziz
Naib Presiden: Datuk Abdul Halim Suleiman, Datuk Awang Sham Amit, Datuk Mohd. Sumali Reduan dan Datuk Abd. Jalil Ariffin
Setiausaha Agung: Datuk Abidullah Salleh
Bendahari: Datuk Paruwadi Musa -BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here