GAMBAR: Aziz A. Shariff.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

TASIK Temenggor di Gerik, Perak dibuka semula untuk pelancongan setelah ditutup kerana Pandemik Covid-19 selama hampir 19 bulan.

Dalam satu kenyataan, Tourism Perak Management Bhd berkata kebenaran aktiviti pelancongan, termasuk pengusaha rumah bot di kawasan itu perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antara yang perlu dipatuhi ialah mana-mana pengusaha perkhidmatan rumah bot yang ingin beroperasi, perlu berdaftar dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Jabatan Perikanan.”

Pengusaha juga perlu melakukan sanitasi premis sekurang-kurangnya tiga kali sehari sepanjang tempoh operasi, terutama di kawasan umum seperti surau, tandas, stor dan kaunter.

Aktiviti bermalam hanya dihadkan kepada tiga hari dua malam di rumah bot yang terletak dalam kawasan Taman Negeri DiRaja Belum.

GAMBAR: Aziz A. Shariff.

“Bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kapasiti asal penumpang rumah bot dan hanya pelanggan berumur 18 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti itu,” katanya.

Pengusaha dan pengunjung yang ingin memasuki Taman Negeri DiRaja Belum juga perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak.

Bagaimanapun, buat masa ini hanya pengunjung dari dalam negeri Perak dibenarkan.

Mereka yang lengkap vaksinasi perlu menunjukkan sijil sah vaksinasi COVID-19 bersama borang permohonan permit.

Lawatan ke perkampungan Orang Asli tidak dibenarkan.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here