depression, sadness, man
Photo by whoismargot on Pixabay

KESIHATAN mental individu amat penting dari sudut agama Islam dan salah satu maqasid syariyyah adalah menjaga kesihatan dan kewarasan akal. Ada pepatah arab yag bermaksud akal yang sihat dimiliki oleh tubuh badan yang sihat. Justeru, umat Islam perlu menjaga kesihatan fizikal demi kesihatan mental. Walau bagaimanapun lumrah kehidupan kita berdepan dengan ujian, cabaran, kesakitan, kerugian, kesedihan, kerisauan, kemarahan, kekecewaan, kemiskinan dan kemusnahan. Ia bersilih ganti dengan kegembiraan, kejayaan, nikmat dan kesihatan dalam mewarnai kehidupan manusia di dunia ini. Kekuatan mental dan kestabilan emosi perlu dititikberatkan dalam pendidikan anak-anak agar lahir generasi yang optimis dan positif cekal meredah liku-liku kehidupan.

“Jangan bersedih Allah bersama kita” ucapan penyejuk hati Rasulullah SAW kepada sahabat baiknya Sayyidina Abu Bakar ketika berlindung di sebuah gua kerana dikejar oleh kafir Quraisy yang ingin membunuhnya boleh dijadikan tips berguna oleh umatnya. Ketenangan yang dicapai dan ditunjukkan oleh Baginda SAW walaupun dalam keadaan nyawa di hujung tanduk seharusnya menjadi inspirasi umat Islam ketika dilanda kesedihan, kerisauan dan kesukaran. Memiliki minda yang positif dan penuh harapan yang baik amat penting dalam kehidupan umat Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT bermaksud: adakah manusia menyangka apabila mereka mengatakan bahawa “kami beriman” kemudian akan ditinggalkan begitu sahaja tanpa diuji (Al-Ankabut: ayat 2). Hidup di dunia ini penuh dengan ujian dan cabaran tanpa titik nokhtah. Semua insan diuji dan teruji termasuk para Nabi dan Rasul malah mereka antara yang paling kerap diuji dan ujian mereka paling berat sehinggakan Nabi Muhammad, Isa, Musa, Nuh dan Ibrahim digelar ulul azmi (yang mempunyai hati yang cekal dan keazaman yang kuat). Oleh itu, hati perlu kuat dalam menghadapi apa saja situasi. Allah SWT tidak menjanjikan kehidupan yang aman tanpa ujian tetapi Allah menjanjikan bantuan yang penuh kasih sayang di sebalik setiap ujian. Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud: Dan Allah berkata: Minta daripadaKu (doa), pasti Aku beri, barangsiapa yang sombong dari beribadat kepadaKu akan masuk neraka jahanam dan kekal di dalamnya.

Allah SWT turut memberi penegasan bahawa setiap kesukaran akan disusuli dengan kemudahan dan ia diulang sebanyak dua kali dalam surah al-Syarh ayat 5 dan 6. Kemudian dalam ayat yang lain Allah SWT mengarahkan kita memohon bantuan dengan kesabaran dan solat. Apabila kita mempunyai hajat tertentu kita hendaklah solat memohon kepada Allah SWT dan sabar. Persoalannya adakah memadai solat dan sabar tanpa berusaha? Jawapannya sudah semestinya tidak. Ia perlu diiringi dengan usaha yang gigih, ikhtiar yang berterusan dan istiqomah berdoa pasti kemudahan akan mengiringinya.

Terdapat pelbagai cara untuk menguatkan hati dan tips yang boleh digali dan dimanfaatkan oleh kita daripada Firman Allah SWT. Antaranya dalam surah al-Ra`d ayat 28 yang bermaksud: orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan zikir nama Allah, bukankah dengan zikir nama Allah itu akan menenangkan hati. Orang mukmin yang mengamalkan zikir akan menjadi tenteram dan kuat hati mereka dalam mendepani ujian dan cabaran serta masalah yang dihadapi. Di samping zikir terdapat banyak doa-doa ma’thur yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadis yang boleh dibaca setiap kali hati merasa gundah, resah, tertekan dan kecewa. Ini penting kerana hati manusia dijadikan berbolak balik dan berubah-berubah. Doa yang diajarkan Nabi SAW yang bermaksud: Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMu. (Riwayat Imam Ahmad)

Justeru, doa dan zikir bertindak mengawal hati agar kekal tenang dan sabar. Antara doa ma`thur yang boleh diamalkan adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami, penuhi hati kami dengan kesabaran dan matikan kami sebagai orang-orang Islam (Al-A`raf: ayat 126) dan dalam surah lain : Wahai Tuhan kami, penuhi hati kami dengan kesabaran dan teguhkan langkah kami dan berikan kemenangan kepada kami melawan kaum kafir (al-Baqarah: ayat 250) Antara musuh dalam selimut yang kita hadapi dalam kehidupan seharian adalah nafsu ammarah yang mendorong kita melakukan kejahatan. Hati yang kuat itu mampu bertahan, tabah dan sabar serta kekal menang dalam menghadapi serta menerima ujian seperti kematian, kekurangan harta, kezaliman dan kejahatan manusia di sekelilingnya.

Setiap manusia pasti menghadapi kesukaran dalam urusan sehari-hari namun apa yang membezakan mereka dalam menghadapinya adalah cara menerima dan bertindak, sama ada dengan minda yang positif dan sabar atau sebaliknya. Malah dalam kalangan mereka ada yang berjaya bangkit dari tekanan mental, kekecewaan dan kesedihan serta terus hidup secara sihat dan gembira. Pilihan di tangan kita. Tepuk dada tanya iman! Ayuh bangkit hidup tenang makmur bersama.- BebasNews

*Dr Aizan Bt [email protected] Mat Zin merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here