Muhammad Akmal Hazim Hafizul Rasydan

CYBERJAYA – Siapa menyangka hobi bermain permainan video dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya boleh mengasah bakat mereka untuk menjadi lebih kreatif dan seterusnya menjadi penyedia perkhidmatan digital di usia muda.

Inilah pengalaman unik seorang peserta program Digital Ninja yang dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) iaitu, Muhammad Akmal Hazim Hafizul Rasydan yang masih menuntut di tingkatan empat, SMK Shah Alam, Selangor.

Program Digital Ninja ialah inisiatif di bawah #Mydigitalmaker yang bertujuan mengenal pasti pelajar yang mempunyai bakat dalam digital dan menunjukkan potensi besar untuk menjadi pakar teknologi digital masa depan.

Peserta akan menghadiri program direka khas yang menawarkan Pembuatan dan Peningkatan Kemahiran Digital, Pemikiran Kritis, Kepimpinan dan Kemahiran Keusahawanan.

Menurut Muhammad Akmal Hazim, beliau bermula dengan minat dalam permainan video, Minecraft pada 2017 iaitu pada usia 12 tahun dan kemudiannya berjinak dalam pembangunan pelayan (server) sendiri untuk permainan berkenaan.

“Setahun kemudian saya mula menjalankan projek pembangunan perisian komputer pertama saya iaitu BenchPoint.io, iaitu aplikasi untuk mengesan kelajuan pelayan percuma. Bermula dari situ, saya mula mengasah kemahiran meliputi pembangunan aplikasi mudah alih, web dan pembangunan IoT.

“Pada tahun 2018 saya memperoleh projek pembangunan perisian pertama dari sebuah syarikat dan apa yang menggembirakan saya, mereka berjaya menjana pendapatan sehingga RM1 juta pada tahun pertama menggunakan perisian berkenaan,” kata Muhammad Akmal Hazim ketika hadir sebagai tetamu jemputan dalam sesi Kelas Mingguan #SayaDigital secara maya menerusi Facebook MDEC, baru-baru ini.

Kepada remaja khususnya pelajar yang ingin menceburi kemahiran pembangunan perisian dan aplikasi di usia muda, Muhammad Akmal Hazim menasihatkan agar mereka memiliki minat yang tinggi dalam teknologi digital, kesungguhan untuk menyelesaikan masalah, menguasai matematik dan aktif dalam komuniti digital untuk menambah pengetahuan.

Beliau turut menekankan bahawa pembahagian masa antara akademik dan pelajaran harus diseimbangkan dan biasanya pekerja bebas (freelancer) digital, menawarkan waktu kerja yang bebas serta fleksibel.

“Pembangunan perisian adalah untuk menyelesaikan masalah, oleh itu kita kena sentiasa ada sikap serta kesungguhan untuk menyelesaikan sesuatu dengan cara lebih baik, sama ada dengan menambah baik aplikasi sedia ada atau mencipta yang baharu.

“Berbekalkan kemahiran sebagai freelancer, ia membuka lebih banyak peluang untuk kita menceburi kerjaya digital profesional seperti pengurus projek, jurutera penyelesaian, analisis sistem, jurutera hadapan atau belakang tabir, jurutera full-stack, jurutera mudah alih dan jurutera pembangunan operasi,” jelas Muhammad Akmal Hazim.

Sementara itu, Dr Sumitra Nair, Ketua Pegawai Kemahiran dan Kerjaya Digital MDEC berkata, sebagai agensi peneraju ekonomi digital, MDEC telah memberi penekanan kepada pembangunan bakat muda dalam teknologi digital menerusi pelbagai inisiatif di bawah kempen #Saya Digital iaitu inisiatif #Mydigitalmaker.

“MDEC akan menganjurkan #Mydigitalmaker Virtual Fair 2021 pada Oktober hingga November ini. Program hasil kerjasama antara sektor awam, swasta dan akademik ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai belia yang mahir teknologi digital, contohnya seperti Muhammad Akmal Hazim.

“Program ini terbuka kepada semua dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti pendedahan kerjaya digital, bengkel penyumberan luar, kandungan pembelajaran kendiri, pertandingan, webinar dan pameran,” jelas Dr Sumitra.

#Mydigitalmaker Virtual Fair 2021 menawarkan kelainan iaitu dianjurkan menerusi kerjasama strategik dengan lima penganjur mengikut wilayah iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jazari Robot, Kedah Digital Centre, iTrainKids dan Petrosains.

Untuk maklumat lanjut mengenai Gerakan #mydigitalmaker sila layari https://mdec.my/mydigitalmaker/ atau ikuti Facebook kami di https://www.facebook.com/mydigitalmakermovement untuk maklumat terkini. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here