Norsyahrin Hamidon
Oleh A. AMRI

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa portal berita menyiarkan data sulit fail akaun bank individu kaya negara ini di luar negara boleh menjejaskan integriti sistem perbankan global.

Kebimbangan itu disuarakan tokoh korporat tempatan, Norsyahrin Hamidon dan menyifatkan perbuatan laman tersebut sebagai mempunyai agenda tertentu bagi membentuk persepsi pembaca.

“Simpan banyak duit di luar negara bukannya salah pun, apatah lagi pusat kewangan pesisir antarabangsa terkenal kerana itu masih dibenar dari segi perundangan mana-mana negara.

“Cuma yang jadi persoalan, kenapa portal itu kecoh memperbesarkan laporan kebocoran data rahsia akaun orang ternama kononnya macam kes jenayah pula,” katanya ketika dihubungi.

Isnin lalu, Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berpusat di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan konon fail kewangan sulit yang sebesar 2.94 terabyte.

Ia melibatkan kebocoran hampir sedozen juta dokumen daripada 14 penyedia khidmat luar pesisir termasuk di Singapura yang cukup popular dalam kalangan ramai jutawan Malaysia.

Ini termasuk kalangan ahli perniagaan terkenal, pemimpin politik dan menteri Kabinet dengan mendakwa amalan itu kononnya untuk pengelakan cukai atau penggubahan wang haram.

Bagaimanapun, kredibiliti ICIJ yang ditubuhkan pada tahun 1997 lalu dan bebas kongsi maklumat rahsia kepada lebih 100 organisasi media di sejumlah 70 buah negara, turut boleh dipertikaikan.

Mengulas lanjut, Norsyahrin merujuk pendedahan ICIJ bermula pada tahun 2013 melibatkan Offshore Leaks melibatkan 2.5 juta fail diikuti Panama Paper pada tahun 2016 meliputi 11.5 juta fail.

“Setahun kemudian, ia bocor lagi konon Paradise Paper dengan 13.4 juta fail, lebih banyak daripada Pandora Paper kelmarin cuma 11.9 juta fail, tetapi apakah natijahnya?” soal beliau.

Justeru Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya menganggap insiden ini sebagai bentuk eksploitasi data peribadi pelanggan yang sepatutnya dilindungi.

Sambil menyifatkan tidak kiralah apa sebab individu itu menyimpan banyak wang mereka di luar negara, isu kebocoran maklumat sedemikian boleh menghakis keyakinan masyarakat.

Bayangkanlah ujarnya, jika maklumat orang kaya pun boleh terdedah begitu mudah, apatah lagi akaun rakyat marhaen yang tidak seberapa pun boleh dibongkar ICIJ dijual kepada dunia.

“Inilah yang patut ditakuti sebab kita simpan di bank atas kepercayaan data dipelihara, namun jika begini jadinya, nampak sangat fail itu mudah rentan diceroboh pihak luar,” katanya kesal.

Oleh itu, beliau berpendapat, pihak berkuasa wajar menyiasat isu ini kerana jika tidak dikawal, maklumat peribadi rakyat kita di luar negara boleh digodam pihak tidak bertanggungjawab. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here