Lagu MemandangMu merupakan runut bunyi drama I.C.U yang disiarkan menerusi platform penstriman Nurflix.

Oleh Khadijah Ibrahim

SIAPA suka dengar lagu Bila Bulan Berwarna Biru, dendangan duo Arab dan Aidit, lagu ciptaan Shamsudin Sidek yang popular sekitar tahun 1991. Mungkin ada yang sudah melupai Aidit Alfian dan bagi generasi baharu pasti tertanya, siapa itu Aidit.

Sekian lama bekerja di belakang tabir sebagai komposer, kini Aidit kembali beraksi sebagai penyanyi. Kali ini pasangan duet Aidit adalah anak keduanya, Teguh Budiman. Mereka bergandingan menerusi lagu MemandangMu yang mempunyai pengertian besar untuk disampaikan kepada khalayak.

Melodi MemandangMu begitu menyentuh, bait-bait liriknya ditulis dengan penuh makna dan pembawaan kepada istilah cinta dan kenal. Mendalami lirik yang ditulis oleh Aidit, Raja Mukhlis dan Bakhtiar Effendy ini maka satu demi satu pencarian cinta akan didekati.

Menurut Aidit, selaku pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi lagu ini, beliau melalui cabaran tersendiri untuk membawakan MemandangMu yang merupakan lagu runut bunyi drama I.C.U yang ditayangkan di platform penstriman, Nurflix.

Teguh Budiman bertuah dapat bekerjasama dengan bapa, Aidit Alfian menerusi lagu MemandangMu.

“Lagu ini pada saya perihal mencari dan ambil macam kisah percintaan dengan Tuhan. Untuk nak mencintai itu senang tetapi mesti bawa pada penyerahan. Kalau tak kenal bagaimana untuk cinta?

“Saya menerima bait-bait lirik dan perkataan awal dari Raja Mukhlis dan hantar beberapa lagu untuk dipilih akhirnya melodi dan lagu yang paling sesuai diambil dan terjadilah MemandangMu nyanyian Teguh Budiman dan saya,” katanya yang juga penerbit untuk lagu ini.

Jelasnya, lirik MemandangMu amat istimewa kerana pemilihan bait-bait itu diambil dari surah Al Baqarah ayat 115 dan An Nur ayat 35. Apabila penyampaian ini menyentuh tentang cahaya di balik gelita dan perihal ‘memandangMu’ itu sendiri.

Kata Aidit, cabaran awal buat dirinya adalah sewaktu rakaman vokal yang terpaksa mengambil masa hampir sebulan kerana mahukan pemilihan yang tepat.

“Paling stres bila jaga vokal kerana saya bukan penyanyi dan tidak pernah jaga vokal sendiri. Akhirnya siap juga. Pembikinan muzik untuk lagu ini tidak lama dan Pacai bantu dari segi susunan muzik. Semuanya kami buat di rumah kerana dilakukan pada waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” jelasnya yang memilih Teguh untuk berduet bersama.

Aidit Alfian yang pilih Teguh Budiman untuk bekerjasama dalam lagu MemandangMu.

Selain berkolaborasi dengan orang muda, Aidit turut menggunakan khidmat Raja Nazrin Shah, dari kumpulan SOG (Sekumpulan Orang Gila) untuk rakaman cello.

“Lagu ini ‘kena’ kerana dalam drama ini pun tentang hubungan anak dan bapa. Tidak susah untuk menjaga vokal Teguh kerana kami senang berkomunikasi dan dia pula boleh menyanyi berdiri lama-lama. Bukan mudah untuk seorang penyanyi berdiri dan bertahan lama-lama dan dia mampu lakukan,” komen Aidit tentang anak lelakinya yang kini berusia 23 tahun.

Tatkala ditanya tentang limitasi atau kelebihan menukilkan lagu runut bunyi untuk drama, Aidit mengakui bahawa kepuasan kali ini bercampur aduk.

“Pembikinan lagu jadi lebih fokus kerana ada jalan cerita tapi bila cakap pasal muzik, kadang-kadang terfikirkan kalau kualiti penggambaran atau adegan tidak kena dengan muzik, ia akan menyukarkan. Namun, alhamdulillah saya diberikan lirik dan pemilihan kata-kata kena dengan lagu tersebut,” ujarnya kini sedang merangkakan single perdana solo buat Teguh Budiman.

“Drama I.C.U ini berkisarkan tentang seseorang yang tidak menjaga solat, makan berlebihan dan mengambil perkara dalam santai-santai. Bila sakit, dia nak buat betul-betul dan bertaubat,” tambah Aidit apabila diminta bercerita sedikit intipati drama siri original I.C.U lakonan Faizal Hussein, Mardiana Alwi, Amirah Othman, Ustaz Syamsul Debat dan Wany Hasrita yang ditayangkan di platform Nurflix.

Teguh Budiman (kiri) berharap lagu MengenangMu mendapat sambutan.

Sementara itu, Teguh Budiman menganggap merakam lagu bersama bapa adalah satu pengalaman baharu buatnya dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Rakaman MemandangMu dilakukan dalam tempoh beberapa hari untuk mendapatkan karakter yang tepat dengan lagu tersebut.

“Dalam dunia muzik, saya sangat-sangat baharu dan lagu MemandangMu merupakan satu ‘breakthrough’ untuk saya lebih tahu tentang dunia muzik dan bagaimana untuk sampaikan sesuatu lagu. Ia lebih kepada membina karakter.

Cabaran yang dihadapi sewaktu rakaman lagu ini memang ada namun bagaimana saya menyahut cabaran itu lebih penting. Lebih tepat cabaran sebenarnya ialah bagaimana cara mencari diri sendiri di dalam lagu MemandangMu.

“Ia lebih kepada momen bertemu diri dalam lagu tersebut kerana lagu itu sebenarnya mengisahkan tentang seorang hamba. Bagaimana attitud kita terhadap Tuhan. Apa yang kita inginkan, kita perlu dengan penuh adab, meminta izinkan padaNya. Adab dan tajuk cinta itu sendiri tidak boleh dipisahkan. Saya melalui perasaan-perasaan itu untuk memahami lagu tersebut,” tambahnya yang mengaku bahawa Aidit memberi bantuan dan pengertian yang besar untuk dirinya.

Akui Teguh, tanpa tunjuk ajar daripada Aidit, beliau tidak mungkin dapat melalui proses rakaman vokal kerana semua itu adalah sesuatu yang baharu baginya. Apa pun, Teguh akui beliau selesa dengan tunjuk ajar yang diberi oleh bapanya.

“Jangan takut dengan kelebihan dia. Hanya kena menerima diri dia seadanya. Untuk menjiwai lagu kerohanian pula, dengan kehadiran bapa, tenaga senang disebarkan. Cabaran dipermudahkan,” tambahnya yang meminati lagu-lagu nyanyian Iwan Fals dan Damian Rice ini.

Pada usia muda dan pencetus kemunculan di dunia muzik dengan lagu kerohanian, Teguh akui, tidak pernah tahu perjalanan seninya akan pergi ke arah mana. Teguh yang baru berjinak-jinak bermain gitar itu berkata, perjalanan seninya mengikut perancangan yang dipandu oleh Aidit sendiri.

Namun akui Teguh, beliau agak gemuruh ketika melakukan penggambaran video muzik MengenangMu di Istana Budaya yang mengambil masa satu hari suntuk di bawah arahan Saiem Muhammad.

“Saya pergi ke set dengan rasa gemuruh namun semua tenaga kerja dan yang terlibat melayan dengan baik. Saya juga pertama kali menjalani penggambaran video dengan Abang Nazrin yang selalu saya jumpa,” ujarnya.

Selain menikmati momen bertemu karakter dirinya dan selesa menyanyi bersama bapa, Teguh berharap lagu MengenangMu diterima khalayak dan difahami sertai diredai.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here