Oleh A. AMRI

KUALA LUMPUR – Selepas enam bulan diberikan nama rasmi sebagai Tarantula, kenderaan perisai bermobiliti tinggi pacuan empat roda, HMAV 4×4 itu bakal dieksport ke Timor-Leste.

Berita gembira itu dilaporkan sebuah portal berita negara berkenaan baru-baru ini melibatkan kerjasama dengan syarikat tempatannya, Golden Dragon Machineries Unipersonal Lda.

Jentera dilancarkan firma Mildef International Technologies pada 11 Februari lalu itu turut menyaksikan pemindahan teknologi antara dua negara selain khidmat selepas penjualan.

Bagaimanapun portal tersebut tidak pula mendedahkan berapakah bilangan unit yang bakal dibawa masuk dan bilakah tempoh penghantaran produk berkenaan dapat dilaksanakan.

Namun laporan portal yang berbahasa Tetun, Portugis dan Indonesia itu ada menyatakan usahasama tersebut bakal mengukuhkan hubungan pertahanan dan kerjasama ekonomi.

Timor-Leste yang memulihkan kemerdekaan semula daripada jirannya pada 2002, ketika ini hanya memiliki lapan buah kenderaan ringan pacuan empat roda buatan China sejak 2007.

Pasukan tentera darat negara itu juga mempunyai sejumlah 50 buah trak taktikal jenis ringan GS keluaran Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dari Malaysia diperoleh pada 2014 lalu.

Justeru, pemilihan Tarantula menunjukkan negara berkenaan meyakini produk Malaysia yang bersesuaian dengan suasana iklim tropika dan bentuk muka bumi hutan berbukit-bukau.

Portal itu menyatakan, HMAV 4×4 ini dalam kos harga berpatutan, mesra pengguna, mudah diselenggara selain berteknologi tinggi setanding dengan jentera yang sama keluaran Eropah.

Kenderaan dengan berat kasar 14 tan dan mampu memecut maksimum 110 kilometer sejam itu juga menepati standard jentera pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Syarikat Mildef sebelum itu dilaporkan sudah berjaya menerima tempahan untuk menjual sejumlah 100 buah Tarantula kepada negara pembeli yang dirahsiakan atas faktor keselamatan.

Projek penghasilan HMAV 4×4 ini mula direkabentuk pada 2014 dengan 70 peratus komponen tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada jentera diimport yang mahal.

Firma 100 peratus milik Bumiputera itu yang mempunyai 140 pakar pada ketika itu turut sibuk memajukan kenderaan mobiliti kecil seperti model Humvee dan HMAV pacuan enam roda pula.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here