Tobat, gandingan Bell Ngasri, Ropie dan Shuk Sahar.

Oleh Khadijah Ibrahim

RINDU nak tengok pelawak tempatan beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021)? Jangan risau, anda berpeluang menonton dan menilai persembahan peserta MLM 2021, mulai 15 Oktober, setiap Jumaat, pukul 9 malam, menerusi saluran Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Sebanyak 11 kumpulan yang terdiri daripada gandingan duo dan trio pemain komedi tanah air bakal berentap, menggegarkan pentas MLM tahun ini, demi merebut hadiah kemenangan lumayan berbentuk wang tunai RM500,000 berserta trofi. Naib juara menerima RM250,000, ketiga (RM150,000), keempat (RM50,000) dan RM15,000 untuk tempat kelima.

Mengangkat tema ‘Aura Baharu, Lawak Terpadu’, program realiti pertandingan komedi yang dinantikan ramai ini menjanjikan persembahan lawak yang berapi-api, sarat dengan ‘punchline’ yang cukup padu selama sepuluh minggu ia bersiaran secara langsung dari Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Kumpulan Otai dianggotai oleh Ieda Moin, Azlee dan Acong.

Peserta yang bersaing kali ini ialah Kumpulan Boro yang dianggotai oleh Achey, Atu dan Fad, Kumpulan Puteh (Mamak, Vicha dan Ali), Kumpulan 3Otak (Phoon Chi Ho, Farid Azmier dan Parakash Daniel), Kumpulan R & R (Man dan Rahim), Kumpulan Tobat (Shuk Sahar, Bell Ngasri dan Ropie), Kumpulan Otai (Azlee, Ieda Moin dan Acong), Kumpulan Orix (Achok, Yassin dan Abu Mamu), Kumpulan Cawan (Aliff Yasraf, Wan Gegau dan Che Mat Raja Lawak), Kumpulan Trio ( Sharif (Botak), Syaiful (Melati) dan Danial Zaini), Kumpulan Bahye (Zahid, Nizam Jentik Jentik dan Shashic) serta Kumpulan Taici (Chiwan, Tapai dan Ilham).

Untuk produksi tahun ini, beberapa kelainan ditampilkan bagi memberi nafas baharu dan suntikan yang lebih segar kepada keseluruhan latar persembahan MLM 2021, namun masih mengekalkan Datuk AC Mizal sebagai pengacara.

Dari kiri, Fad, Achey dan Atu bersaing atas nama kumpulan Boro.

Di antara perubahan yang dilakukan adalah memperkenalkan karakter juri misteri atau Naga Juri, yang juga merupakan salah seorang dari empat orang lagi Juri Tetap. Simboliknya Naga diangkat sebagai karakter pilihan oleh kerana ia merupakan elemen atau watak yang melatari program Maharaja Lawak Mega sejak dari hari pertama diperkenalkan.

Hebatnya lagi, empat orang Juri Tetap ini hadir dari berlainan latar belakang profesional, berpengalaman luas dalam industri seni negara yang semestinya mampu menarik perhatian dan tampil dengan penuh kejutan. Manakala watak Naga Juri hanya akan didedahkan secara rasminya di pentas akhir MLM 2021 kelak.

Figura di belakang karakter Naga Juri ini juga bukan calang-calang orangnya. Siapakah beliau? Sama-sama kita nantikan sehingga MLM 2021 melabuhkan tirainya pada 17 Disember 2021 nanti.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh dalam satu kenyataan berkata, untuk musim yang kesembilan, MLM kali ini menampilkan kumpulan yang mana gandingan setiap kumpulan pasti akan memberikan kejutan yang besar kepada penonton.

“Gabungan yang amat tidak disangkakan sekali, cukup unik dan keserasian yang akan mereka cetuskan sudah pasti membuat penonton hilang kata-kata. Sebagai contoh, gandingan yang saya maksudkan adalah seperti trio adik beradik, Zero tidak lagi berada bersama dalam sebuah kumpulan.

Penampilan kali kesembilan AC Mizal sebagai pengacara MLM 2021 sejak program itu diperkenalkan pada 2011.

“Untuk mencetuskan kelainan dan mewujudkan elemen ‘chemistry’ dengan kumpulan lain, buat julung kalinya, Atu telah menyahut cabaran untuk bersama dengan bekas Juara MLM 2016, kumpulan Bocey. Begitu juga dengan kumpulan Puteh, mantan Juara MLM edisi 2019, di mana kini mereka mengalu-alukan kehadiran Vicha.

“Kami juga begitu teruja apabila dua pemain komedi veteran yang dihormati ramai, khususnya di kalangan pelawak baharu, Azlee dan Yassin dari kumpulan ‘legendary’ Senario bersetuju untuk beraksi di pentas MLM musim ini. Namun begitu, mereka bersama kumpulan yang berlainan; Azlee bersama Ieda Moin dan Acong (Kumpulan Otai) manakala Yassin bersama Achok dan Abu Mamu dalam Kumpulan Orix,” jelasnya tentang ‘kejutan’ MLM 2021.

Tegas Norzeha, pihaknya begitu teruja dan merasakan kolaborasi ‘cross-group’ di antara para peserta MLM ini adalah pendekatan yang cukup berani, dan mampu mencetuskan semangat keharmonian, yang mana secara tidak langsung turut membantu mengukuhkan ikatan setia kawan sesama mereka, serta memberi contoh ‘healthy competition’ yang baik.

Selain itu, untuk musim ini produksi MLM 2021 dengan sebulat suara bersetuju untuk menambah lebih banyak persembahan mingguan bersama artis jemputan berbanding dengan musim-musim terdahulu yang mana elemen istimewa ini ditampilkan hanya sekali pada setiap musim.

“Melihat kepada sambutan yang diberikan penonton untuk episod persembahan bersama artis jemputan, kini peserta boleh beraksi bersama artis jemputan mereka yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pendakwah, pakar motivasi, pempengaruh digital, atlet sukan atau figura profesional untuk tugasan yang ditetapkan pada minggu-minggu berkenaan.

“Untuk musim ini juga, MLM 2021 memperkenalkan ‘Anugerah Lawak Pedas’, pengiktirafan mingguan kepada kumpulan terbaik pada minggu tersebut. Kemenangan ini ditentukan oleh kelima-lima Juri Tetap bersandarkan kepada persembahan setiap kumpulan. Pemenang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan hamper barangan Adabi bernilai RM500,” katanya lagi.

Sementara itu, format pemarkahan MLM 2021 kekal, 70% jumlah pemarkahan akan diberikan oleh barisan Juri Tetap manakala 30% daripada undian penonton adalah menerusi platform digital, www.gempak.com/maharajalawakmega atau imbas kod QR di skrin televisyen masing-masing sambil menerokai Dunia AR (Augmented Reality) MLM 2021.

Menerusi penggambaran Dunia AR ini, anda dapat menonton video-video menarik MLM 2021 dan mendapatkan petunjuk atau ‘clue’ siapakah di sebalik karakter juri misteri atau Naga Juri. Di minggu terakhir, penonton yang menjawab dengan betul akan menerima hadiah istimewa MLM 2021.

Dalam pada itu, penyampai radio SINAR, Dina Nadzir bertindak sebagai pengacara Backstage MLM 2021, edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir MLM, manakala penyampai radio GEGAR, Issey Fazlisham dan penyanyi baharu kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz bertindak sebagai pengacara program Live Plus (Live +).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here