GAMBAR: Facebook Aspan Alias.

Oleh Zainal AS Rashid

DI MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin (11 Okt) penulis blog Aspan Alias, 69, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook.

Dia didakwa dalam keadaan sedar memuat naik post bersifat jelik menggunakan akaun Facebook ‘Aspan Alias’ dengan niat menyakiti hati orang lain pada 2.47 petang, 16 Mei 2021.

Hantaran tersebut dibaca oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, pada pukul 9.00 pagi, 18 Mei 2021.

Pertuduhan tersebut yang dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) boleh membawa hukuman menurut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika didapati bersalah Aspan sebagai ‘Orang Kena Saman’ (OKS) boleh berdepan dengan denda maksimum RM50,000 atau dipenjara hingga setahun atau kedua-duanya, selain didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, tetapi peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Aspan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan sejak 30 tahun lalu.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Aspan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Disember untuk sebutan semula kes.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here