MUHAMMAD RAZLAN ISMAIL.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR / Foto SYED YUSOF WAFA dan
DREAM AT WORK

ADA orang berkata apa ada pada nama tetapi sebenarnya nama itu amat penting untuk membezakan antara satu dengan lain. Apalagi jika ia melibatkan sebuah program masakan yang selama ini memang menjadi minat kebanyakan kaum ibu dan muncul sebagai sebuah program yang sentiasa dinanti-nantikan.

Pelbagai nama program masakan diberikan sebelum ini untuk menarik para peminat menontonnya terutama kaum ibu demi memastikan kemunculannya tidak sia-sia.

Bagaimanapun kemunculan sebuah program masakan dengan nama yang unik dan begitu dekat di hati para peminat filem Melayu arahan Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pasti akan membuatkan anda tidak berkelip mata walau sesaat pun apabila ia bersiaran tidak lama lagi.

INILAH mereka di sebalik program “Mencari Puspawangi” dari kiri: Amira Hanis, Nazatul Ezrin Ghazali, Muhammad Razlan Ismail, Chef Ismail Ahmad dan Mohd. Irfan Hasan.

“Mencari Puspawangi” sebuah program masakan yang diilhamkan daripada satu watak dari filem “Musang Berjanggut” lakonan Allahyarham Seniwati Datin Saadiah terbitan Malay Film Productions yang memaparkan kehebatan seorang gadis kampung bernama Puspawangi bukan sahaja mampu memasak hidangan yang enak daripada rempah ratus daripada uncang bekalan Tun Nila Utama (lakonan Allahyarham P. Ramlee) malah memaparkan kebijaksanaan mereka berdua.

“Mencari Puspawangi” idea asal Penerbit dan Pengarah, Datuk Muhammad Razlan Ismail dan DAW Content Creation Division akan mula bersiaran di Astro Naura 109 pada pukul 9.00 malam mulai 15 Oktober ini selama 30 minit setiap hari Jumaat.

MUHAMMAD Razlan Ismail dan Chef Ismail Ahmad.

Rancangan terbitan Dream At Work Sdn. Bhd. sebanyak 13 episod menampilkan 26 artis dengan hos yang juga juri, iaitu Chef Selebriti yang tidak asing lagi, Datuk Chef Ismail Ahmad dengan seorang juri jemputan yang akan muncul dalam setiap program ini dan merupakan para penaja program masakan ini.

Menarik dan uniknya program ini bukan sahaja dari segi namanya malah berpantun yang merupakan adat budaya Melayu akan menjadi pembuka kata dalam setiap episod program berkenaan.

Di samping itu, busana yang digayakan oleh setiap artis yang menyertainya dengan pakaian tradisional mereka sendiri seperti kebaya labuh, kebaya pendek, baju kurung moden, sari dan cheongsam pasti akan menyerikan program masakan terbaru ini.

PENGARAH Muhammad Razlan Ismail…meneliti resipi ciptaan Sangeetha.

Bukan itu sahaja, malah hos juga akan bergaya dengan busana bagaikan pahlawan Melayu ciptaan pereka fesyen yang cukup sinonim dengan busana tradisional, Salikin Sidek.

Muhammad Razlan Ismail ketika ditemui Khamis lalu bersama Penerbit Eksekutifnya, Mohd. Irfan Hasan, Ketua Koordinator “Mencari Puspawangi,” Nazatul Ezrin Ghazali dan Pencipta Kandungan, Amira Hanis di Restoran Rebung, Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai idea asalnya itu berkata;

FAYE Kusairi dan Thanuja yang akan mencuba ‘mencipta’ resipi dalam “Mencari Puspawangi.”

“Program ini diinspirasikan daripada filem terbitan tahun 1959 dan dizahirkan pada tahun 2021 kerana daripada watak dan babak itu ia sebenarnya mengandungi ‘cooking content’ yang sangat menarik apabila Tun Nila Utama yang dianggap gila merantau membawa uncang untuk menguji siapakah gadis yang bijak dan boleh memasak daripada rempah ratus yang dibawanya untuk dijadikan isteri.

“Diilhamkan daripada babak filem berkenaan dan realitinya setiap kali melihat bagaimana isteri saya menghidangkan menu yang mampu membuka selera kami sekeluarga, tanpa dirancang menjentik minda saya untuk menerbitkan program ini.

“Saya perhatikan selalunya sebelum memasak isteri saya membuka peti sejuk dan menggunakan apa sahaja bahan yang ada untuk menu makan tengah ari kami. Setelah siap beliau akan panggil saya dan anak-anak untuk makan tengah hari. Saya dan anak-anak ni memang ‘ahli syurga'(sambil ketawa) kerana kami tidak pernah komplen apa pun masakan isteri sebab kami makan dengan penuh selera.

Antara Dayana Rosa dsn Daphne Iking resipi siapakah yang mampu menarik hati juri Chef Datuk Ismail Ahmad.

“Selepas makan tengahari, emak akan telefon bertanya isteri saya masak apa hari ini. Beliau akan beritahu emak saya, dia masak apa yang ada dan main campak-campak sahaja. Hasilnya memang sedap!”

Menurut Muhammad Razlan, sejak itu beliau terfikir mengenai rancangan masakan itu yang mana dalam setiap siri dua artis akan diberi seuncang rempah ratus dan di dalam tudung saji misalnya ada daging dan roti mantau untuk mereka masak.

Jelasnya, artis diberi peluang ke pantri untuk menambah bahan bagi resipi ciptaan mereka dicampur dengan rempah ratus dalam uncang yang diberikan.

Di samping mencipta hidangan utama, artis berkenaan mestilah memasak satu jenis ‘dessert’ dan hasil kreativiti dan rasa masakan mereka akan dinilai oleh Chef Ismail bagi menentukan siapakah yang akan memenangi hadiah dalam episod berkenaan.

Dalam setiap episod hanya seorang artis akan dipilih sebagai pemenang berdasarkan rasa masakan, kreativiti, cara persembahan dan kebersihan.

Farahdhiya dan Sangeetha.

Para pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM300, Gold Coins bernilai RM300, barangan Pensonic, barangan Zucca, Ecovitta dan percutian tiga hari dua malam di LaCrista, Melaka.

Rakaman program yang disertai oleh 26 artis antaranya Marsha Milan Londoh, Faye Kusairi, Vicha Saywho, Mona Allen, Zarina Zainuddin, Farahdhiya, Daphne Iking, Bella Astillah, Thanuja, Sangeetha dan Datin Fouziah Gous ditaja oleh Cookhouse, Cookware, White Black Cabin, Barang Dapur Basah dan Minyak Masak Kijang.

Apabila ditanya apa yang beliau ‘dapat’ setelah menerbitkan program “Mencari Puspawangi,” Muhammad Razlan Ismail tanpa teragak-agak berkata;

“Saya merasakan satu kepuasan yang sukar digambarkan kerana berjaya menghasilkan sebuah program masakan yang lain daripada lain apalagi mendapat kerjasama daripada team kreatif, kru, para artis dan penaja.

Zarina Zainuddin dan Bella Astillah…akan menunjukkan kepakaran mereka di dapur dalam “Mencari Puspawangi.”

“Walaupun program ini belum ditayangkan tetapi feedback daripada mereka yang terlibat membayangkan ‘Mencari Puspawangi’ tidak akan terhenti setakat episod 13 musim pertama, semoga program ini boleh memberi impak kepada para penonton dalam mempelbagaikan hidangan mereka.”

Bercakap mengenai Dream At Work Sdn. Bhd., Muhammad Razlan Ismail berkata syarikat penerbitannya bukanlah baru dalam menerbitkan program untuk disiarkan di RTM, TV3 dan Astro.

Sebaliknya sejak 2013, Dream At Work telah diberi kepercayaan menerbitkan dua program berkonsepkan majalah “Kuasa Pengguna” (TV1) dan
“Shop In Love” (TV2) diikuti dengan “Dari Borneo Ke Pantai Timur” (TV Okey -2020), “SQFT – Tiny House”(TV3 – 2021).

Bukan itu sahaja, malah syarikatnya juga pernah menerbitkan telemovie ” Am’ma” (TV Okey -2020), “Mohon Hantuan (Astro Citra – 2020), “Jersi 45” dan pada 2021
menerbitkan “Hello Suria” (Awesome TV – 2021), “Cinta Round 1 (Aatro Citra – 2021).

Dua buah filem yang pernah diterbitkan oleh Dream At Work ialah “This Is Pilah” (2019) dan “Tantiana” pada 2020.

CHEF Datuk Ismail Ahmad memberi peluang kepada Marsha Milan Londoh (kiri) dan Ezzaty Abdullah memilih uncang kegemaran mereka.
Muhammad Razlan Ismail (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Siti Hajar yang menaja barang basah untuk “Mencari Puspawangi.”
POSTER program masakan “Mencari Puspawangi” 1959/2021 yang bersiaran di Astro Naura mulai pukul 9.00 malam pada 15 Oktober ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here