JORDAN (jersi merah) memanfaatkan kesilapan individu pemain Malaysia untuk berkenduri gol di Amman. - Foto JFA

JORDAN, Uzbekistan ibarat ‘guru yang garang tetapi berkesan’ kepada Harimau Malaya selepas dua perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa di Amman, Jordan pada 6 dan 9 Oktober lalu.

Kedua-dua lawan yang di ranking ke-93 dan 84 dunia itu mengajar tempo, teknik dan kemahiran bola sepak moden ketika membelasah anak-anak buah Tan Cheng Hoe 4-0 dan 5-1 di Stadium Raja Abdullah II dan Stadium Antarabangsa Amman.

Diratah Sang Helang dan Si Serigala Putih (Turanian) dengan sembilan gol juga mendewasakan skuad negara bahawa kerja sepasukan wajar sentiasa menjadi keutamaan mereka, selepas ini.

Memberikan tumpuan penuh terhadap kawalan dan hantaran bola sendiri juga satu lagi ilmu bola sepak moden yang ditimba, kerana sedikit kesilapan dalam peralihan permainan daripada menyerang kepada bertahan, mereka akan dihukum.

“Kami sudah sedia dengan sebarang keputusan perlawanan itu yang akan mempengaruhi ranking pasukan negara selepas ini tetapi yang pentingnya, jadi pendedahan dan ujian kepada muka baharu khususnya.

“Bagaimana untuk menyerap situasi dan merasai tempo antarabangsa. Ada perkara negatif menentang Jordan tetapi terdapat peningkatan persembahan pemain melawan Uzbekistan.

“Dengan Jordan, terlalu banyak kesalahan individu berlaku tetapi berdepan Uzbekistan, hal itu dapat dikurangkan,” kata Cheng Hoe dalam sidang media secara dalam talian.

Beliau masih menagih lebih banyak persahabatan dengan lawan di ranking dunia yang lebih baik apabila kalendar perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dibuka lagi pada penghujung November 2021.

“Jika ada peluang lagi, saya ingin pasukan negara main dengan pasukan-pasukan yang lebih baik rankingnya. Setiap kali bertemu mereka, kami akan belajar sesuatu.

“Sambil itu, sudah tentu kami perlukan mata daripada keputusannya untuk memperbaiki ranking dunia pasukan kita,” katanya.

‘Misi Amman, Jordan’ itu merupakan sebahagian persediaan awal menghadapi Piala AFF di Singapura dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dengan Malaysia menganggotai Kumpulan B dengan juara bertahan, Vietnam selain Indonesia, Kemboja dan Laos.

Misi lebih penting berikutnya ialah memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China menerusi Kelayakan Piala Asia pusingan ketiga sama ada pada Januari atau Februari 2022.

Cheng Hoe walau bagaimanapun mempertahankan keputusannya menurunkan gandingan bek tengah, Aidil Zafuan Radzak dan Irfan Zakaria dalam kesebelasan utama kedua-dua perlawanan di Amman.

Ramai penggiat media malah peminat menerusi media sosial, mempersoalkan kewajaran itu setelah kedua-duanya terbabit dalam kesilapan individu yang dihukum dengan dua gol mudah Jordan.

“Bahagian pertahanan tengah perlukan pemain yang berpengalaman dan pernah bergandingan apabila menentang lawan yang kuat dan laju. Bukan bermakna Dominic Tan tidak bagus,” katanya.

Dominic ialah pemain kelab Thailand, Police Tero FC yang kerap dipanggilnya tetapi sering juga memanaskan bangku simpanan termasuk ketika Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Jun 2021.

Namun terdapat tiga pemain negara yang diakuinya memberikan impak membina di Amman seperti pembolos gawang Uzbekistan, Baddrol Bakhtiar dan sayap, Faisal Halim yang menikmati penampilan sulung antarabangsanya.

“Luqman Hakim Shamsudin dalam 60 minit menentang Uzbekistan, mempunyai ciri-ciri bekerja keras dan semangat berpasukan malah yakin serta mampu membuatkan pertahanan lawan yang tinggi dan besar, kelam-kabut,” katanya.

Pemain KV Kortrijk, Belgium ini dipertaruhkan dalam kesebelasan utama sedangkan penyerang naturalisasi dari Brazil, Guilherme de Paula sentiasa menjadi pilihan Cheng Hoe sejak kelayakan hingga berdepan Jordan.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here