Oleh Ruhanie Ahmad

RAKYAT Peribumi sedang menyaksikan pelbagai babak perilaku politik yang diwarnai hasad dengki, fitnah, kedolak-dalikan, kepura-puraan, tamak haloba dan kerakusan kuasa di tahap yang belum pernah wujud sebelum ini.

Sebilangan besar pelaku utama yang menggerak dan merancakkan perilaku babak-babak ini adalah segelintir pemimpin politik Peribumi di peringkat nasional dan negeri.

Pihak lain bergembira dengan perkembangan ini kerana memberikan peluang kepada mereka untuk membelah apa yang sudah retak dan meranapkan apa jua yang sudah pecah-belah akibat percaturan politik Peribumi.

Ini mencerminkan seolah-olah kewarasan sudah tidak bermakna kepada segelintir pemimpin Peribumi terbabit, jati diri politik Peribumi tidak lagi mempunyai nilai, dan keikhlasan dalam memperjuangkan masa depan Peribumi juga tidak lagi menjadi faktor penting dalam perjuangan semasa politik mereka di Malaysia.

Kesan kepada perilaku dan karenah yang menghakis jati diri politik Peribumi ini dicerminkan oleh beberapa perkembangan sejak tahun 2018.

Kejatuhan Kerajaan Barisan (BN) dalam pilihan raya umum 14 (PRU14) disebabkan oleh perilaku segelintir pembesarnya yang didakwa sebagai rasuah, menyalah gunakan kuasa dan kononnya mengkhianati mandat rakyat.

Fenomena ini melemahkan semangat setia kawan dan menghakis jati diri politik BN yang diwarisi daripada Perikatan selaku pejuang kemerdekaan negara berasaskan muafakat dan semangat kontrak sosial.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan BN pula runtuh kerana jati diri politiknya didakwa oleh sesetengah pihak sebagai menolak hakikat Peribumi sebagai penduduk majoriti, anak watan dan bangsa teras Malaysia. Ia juga didakwa meminggirkan Islam sebagai agama terbesar di negara ini.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang bangkit untuk mewujudkan jati diri yang sesuai dengan kemajmukan Malaysia pula difitnahkan sebagai gagal dalam menangani serangan pandemik Covid-19 sejak Mac 2019.

Fitnah ini didakwa sebagai didorong oleh kepentingan peribadi segelintir pembesar UMNO. Ia juga diperkukuhkan oleh dakwaan mengenai penyakit kerakusan kuasa oleh individu tertentu dalam barisan pembangkang.

Hari ini usaha dan perjuangan Kerajaan PN dalam menangani perang Covid-19 sudah membuahkan kejayaannya. Ini bermakna Kerajaan PN tidak gagal dalam peperangan tersebut.

Ini juga membuktikan kegagalan yang difitnahkan kepada PN sebelum ini adalah palsu. Tetapi, dakwaan hasad dengki serta kegilaan kuasa di sebalik fitnah ini kelihatan nyata dan benar.

Rakyat jelata sedang ternanti-nanti sama ada Kerajaan Keluarga Malaysia (KM) yang mengumumkan kejayaan ini akan merakamkan penghargaannya kepada perjuangan PN dalam memerangi Covid-19.

Mereka juga menantikan reaksi Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengenai kejayaan ini kerana beliau telah secara hitam-putih mentohmah kegagalan Kerajaan PN dalam menguruskan Covid-19.

Kenyataan akhbar beliau pada 14 Julai 2021 dan 11 Ogos 2021 adalah antara bukti kepada tohmahan ini. Penarikan sokongan segolongan Ahli Parlimen UMNO untuk menumbangkan Kerajaan PN adalah kemuncak kepada perilaku ini.

Rakyat jelata memang wajar berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, yang mengumumkan penamatan sekatan rentas negeri akibat pandemik Covid-19, mulai 11 Oktober 2021.

Namun, mereka juga perlu insaf, Kerajaan PN telah menjangkakan penamatan sekatan ini menerusi Pelan Pemulihan Negara (PMN) diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun 2021.

Pada waktu yang sama, rakyat jelata menantikan reaksi para pembesar pembangkang, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap hakikat kejayaan Kerajaan PN dalam menguruskan serangan Covid-19. Adakah Anwar akan bersikap budiman dalam hal ini?

Biar pun begitu, intipati huraian di atas adalah berkait dengan jati diri politik Peribumi yang dipaparkan oleh segolongan pemimpinnya sejak kejatuhan Kerajaan BN sampai sekarang.

Ini disebabkan jati diri politik adalah faktor penting yang menjamin kelangsungan atau menyebabkan kemusnahan sesuatu pemerintahan Malaysia sejak merdeka pada tahun 1957 hingga ke hari ini.

Jati diri politik muncul daripada misi serta matlamat perjuangan sesuatu pakatan siasah, serta perilaku dan keperibadian pemimpinnya dalam melaksanakan amanah rakyat jelata dalam konteks Malaysia yang majmuk.

Jati diri juga adalah faktor penting yang mempengaruhi sesebuah kerajaan dalam pembentukan dasar-dasar pembinaan negara-bangsa (nation-building). Corak dasar-dasar ini pula menentukan kelangsungan atau kemusnahan kerajaan tersebut.

Kerajaan BN yang mewarisi jati diri politik Kerajaan Perikatan yang memerintah Malaysia sejak merdeka hingga tahun 1971, berjaya mentadbir negara selama hampir enam dekad kerana keluhuran jati diri politiknya terhadap kemajmukan rakyat Malaysia.

Ini kerana BN menginsafi bahawa kemajmukan Malaysia adalah berteraskan hakikat Peribumi selaku penduduk terbesar, bangsa teras dan anak watan negara ini.

Kerajaan BN juga mengiktiraf kemajmukan ini mesti mengambil kira hakikat bahawa Islam adalah agama terbesar di Malaysia.

Namun kerajaan BN jatuh pada Mei 2018 kerana jati diri politiknya mulai luntur dan digerhanakan pelbagai dakwaan di atas.

Tetapi, kerajaan PH yang menggantikan BN juga tumbang kerana jati diri politiknya jauh berbeza dan didakwa sebagai meminggirkan semangat kontrak sosial dan permuafakatan yang dihayati oleh Perikatan dan BN.

Ini kerana Bersatu yang mewarisi beberapa ciri-ciri murni jati diri politik Perikatan dan BN, dikatakan sukar untuk menerima jati diri lain-lain komponen PH, terutama sekali jati diri DAP yang bertunjangkan Malaysian Malaysia.

Namun begitu, Kerajaan PN yang menghayati kemurnian jati diri Perikatan-BN dan mengekalkan ketegasan PH terhadap rasuah dan salah guna kuasa, juga ditumbangkan.

Ini kerana segelintir pembesar parti yang turut mendukung PN dikatakan tidak lagi mempedulikan ketulusan jati diri yang dipapakan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Oleh itu, adakah rakyat Malaysia akan terus berkompromi dengan perilaku segelintir pembesar politik yang tidak lagi mementingkan ketulusan dan kemurnian jati diri politik Peribumi mutakhir ini?

Jika pembubaran Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini disusuli dengan pilihan raya negeri (PRN), adakah soal jati diri segelintir pembesar parti ini akan dijadikan perkiraan untuk menolak parti yang terlibat dengan isu jati diri ini?

Jika ini jadi kenyataan, apakah parti Peribumi yang menitikberatkan ketulusan dan kemurnian jati diri politiknya akan beroleh kejayaan dalam PRN ini?

Sebaliknya, tidakkah isu jati diri ini akan menyebabkan kuasa politik Peribumi terhakis dan terkubur menerusi PRN ini?

Jika andaiannya demikian, bagaimana pula nasib kuasa politik Peribumi dalam PRU15 kelak? Tidakkah ini membimbangkan kita semua?

Lantas, tidakkah persoalan dan dilema kekuasaan politik Peribumi yang dihuraikan di atas, mencerminkan betapa pentingnya faktor jati diri politik kepada masa depan Peribumi di Malaysia yang majmuk ini?

Kesimpulannya, kini sudah sampai ketikanya untuk pemimpin Peribumi menghentikan segera seluruh karenah dan perilaku yang menghakis keluhuran dan ketulusan jati diri politik Peribumi yang diasaskan oleh Perikatan, demi kelangsungan kita dan kelangsungan seluruh rakyat Malaysia.

Pemimpin politik Peribumi tidak mempunyai pilihan dalam hal ini. Pilihan yang wujud hanya kelangsungan atau kemusnahan kuasa Peribumi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here