KUALA LUMPUR – Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) menuntut kerajaan melaksanakan Pendidikan percuma kepada anak-anak dalam golongan M40 dan B40 seperti yang dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein menerusi Dasar Ekonomi Baru awal tahun 1970-an.

Presiden Penajanya, Kamarazaman Yaacob berkata, hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga perlu dihapuskan kerana ia membebankan graduan yang terpaksa menanggung hutang selepas menamatkan pengajian di peringkat tertinggi.

Katanya, dalam keadaan menanggung hutang yang banyak, graduan berkenaan tidak mampu membantu keluarga yang miskin, malah mereka menyambung kemiskinan ibu bapa, walaupun mereka sudah bergelar graduan.

“Berbeza dengan apa yang dibuat oleh Tun Razak. Saya sendiri dan anak-anak miskin dari luar bandar dapat belajar secara percuma di universiti.

“Akhirnya ramai anak miskin ini telah berjaya dan menjadi ‘middle class’ Melayu yang dapat membantu keluarga mereka sama ada di hulu Gua Musang, hulu Terengganu, utara Perak, Sabah dan Sarawak.

“Pelajaran percuma tidak boleh diberi menerusi PTPTN kerana ia merupakan hutang yang membebankan graduan. Sebab itu Kuasa Rakyat menuntut kerajaan melaksanakan pelajaran percuma dari peringkat rendah sehingga ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual menerusi program Anekdot – Parti Kuasa Rakyat: Apa Cerita yang disiarkan secara maya melalui Dialektika TV malam tadi. Bual bicara selama sejam 15 minit itu dikendalikan oleh personaliti televisyen, Sayed Munawar.

Kamarazaman yang merupakan abang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob juga menuntut kerajaan untuk melaksanakan program kesihatan dan rumah percuma buat rakyat miskin selain turut memberi tumpuan dalam meningkatkan hasil pertanian negara.

Katanya, isu tersebut menjadi perjuangan Kuasa Rakyat yang merupakan sebuah parti mesra pemerintah dan rakan kepada Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya pemimpin kerajaan hari ini yang datang dari anak penoreh getah memahami kepayahan hidup golongan B40 juga mempunyai fikiran untuk menyelesaikan masalah rakyat miskin.

“Dalam soal ini saya percaya apa yang diperjuangkan oleh Kuasa Rakyat ini juga merupakan cita rasa, keinginan dan hasrat yang mahu dilaksanakan pemimpin kerajaan hari ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai dana bagi membiayai pelajaran, kesihatan dan rumah percuma buat golongan miskin Kamarazaman mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tadbir urus yang cekap dan pengurangan perbelanjaan dalam sektor pertahanan negara.

Beliau dimaklumkan oleh satu pihak bahawa sebuah agensi boleh menyumbangkan hasil kepada kerajaan sebanyak RM16.5 bilion setahun jika tidak berlaku ketirisan dalam urus tadbir.

Katanya, bagi meraih sumber kewangan tersebut, agensi kerajaan itu perlu bekerjasama dengan sektor swasta melaksanakan pengurusan yang lebih teratur dan kemas selain penggunaan teknologi terkini.

“Disebabkan agensi kerajaan ini gagal diurus dengan cekap berlaku kebocoran antara RM10 ke RM15 bilion setahun.

“Pihak ini yakin jika agensi tersebut diurus dengan cara sektor swasta ia mampu memberi kerajaan hasil RM6.5 bilion dan mengelakkan kebocoran RM10 bilion setahun,” katanya.

Kamarazaman berkata, kerajaan juga tidak seharusnya membazirkan wang rakyat dengan memperuntukkan puluhan bilion setahun dalam sektor pertahanan negara kerana dari aspek ekonomi ia dianggap tidak produktif.

Katanya, jangan terpedaya dengan permainan kapitalis yang mahu menjual senjata mereka, sedangkan selepas mencapai kemerdekaan negara tidak pernah berperang dengan mana-mana pihak di rantau ini.

Tambah beliau, kepimpinan angkatan tentera mempunyai kepakaran untuk menilai jenis persenjataan yang terbaik dan terkini agar ia relevan untuk tempoh tertentu tanpa melibatkan penggunaan wang yang terlalu besar.

“Bagi saya peluru dan bom adalah lebih baik dijadikan beras untuk dimasak dan dimakan oleh rakyat miskin. Laras senjata dan laras senapang perlu dijadikan pena dan pensel untuk anak-anak miskin pergi belajar.

“Ini antara wang-wang yang boleh diperoleh oleh kerajaan bagi menampung apa yang diperjuangkan oleh Kuasa Rakyat kerana saya difahamkan perbelanjaan PTPTN adalah RM3.5 bilion setahun,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here