fist, aggression, abuse
Photo by Alexas_Fotos on Pixabay
Oleh Dr. Sharifah Basirah Binti Syed Muhsin

ISLAM amat memandang berat terhadap sistem kekeluargaan atau rumah tangga kerana ia berfungsi sebagai sebuah institusi yang akan mencorakkan ‘warna’ dalam masyarakat dan komuniti. Selain itu, ia berfungsi sebagai tempat membina peradaban dan kebudayaan masyarakat serta perkembangannya. Namun, jika institusi kekeluargaan ini tidak berfungsi dengan baik, bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga sahaja malah boleh memberi impak yang besar dalam komuniti dan masyarakat.

Setiap rumah tangga yang dibina tidak terlepas daripada krisis dan sengketa sepanjang pelayaran kehidupan. Krisis rumah tangga ini jika tidak diselesaikan dengan baik, ia boleh menjejaskan kehidupan berumah tangga bahkan boleh mengakibatkan porak-peranda serta penceraian.

Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh pelbagai punca antaranya pendidikan dan pengetahuan tentang agama yang tidak sempurna, tekanan di tempat kerja, masalah kewangan, sikap pasangan, campur tangan pihak luar dan sebagainya. Berikutan pandemik sekarang, amat menyedihkan kes keruntuhan dan krisis rumah tangga semakin meningkat, ini termasuklah keganasan rumah tangga. Berikutan statistik JKM, sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga diterima dan direkodkan sehingga 20 Jun tahun lalu. Statistik tersebut menunjukkan perlunya ada satu solusi yang holistik agar kes yang melibatkan rumah tangga dapat dikurangkan dan diselesaikan dengan berkesan.

Psiko spiritual Islam antara disiplin ilmu baharu yang terhasil kesan perkembangan keilmuan yang bertunjangkan kepada bidang tasawuf atau kerohanian dalam agama dan ia boleh dijadikan sebagai solusi untuk menyelesaikan masalah krisis rumah tangga. Krisis dalam rumah tangga juga adalah salah satu daripada ujian yang diturunkan bagi menguji kesabaran dan keimanan seseorang. Hal ini telah sebagaimana firman Allah SWT “Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu” (Muhammad: Ayat 31).

Krisis rumah tangga yang berlaku dalam sesebuah institusi keluarga merupakan ujian yang bertujuan melihat sama ada hambaNya akan terus saling menyalahkan atau bersabar serta bertolak ansur dalam menyelesaikan masalah. Jika ujian tersebut di tangani dengan sabar dan reda akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT serta dihapuskan dosa-dosa.

Terdapat beberapa elemen penting yang perlu dititikberatkan bagi sesebuah rumah tangga iaitu sifat sabar. Selain menahan diri daripada melakukan keburukan, ia juga boleh didefinisikan sebagai bersungguh-sungguh dalam menghadapi dugaan dan ujian yang menimpa kehidupan. Dalam konteks rumah tangga, suami isteri perlu melatih diri mereka untuk menahan diri daripada mengikut hawa nafsu dan berusaha membaiki akhlak buruk kepada akhlak yang mulia dalam pergaulan dan kelakuan kepada ahli keluarga. Sifat sabar juga boleh dilihat dengan berusaha untuk mendapatkan rezeki dan memberi nafkah kepada ahlinya. Melalui institusi keluarga ini memberi peluang kepada seseorang itu untuk lebih dekat kepada Allah SWT dan meraih ganjaran di akhirat sana.

Elemen muhasabah diri juga dilihat penting dalam bantera rumah tangga. Setiap pasangan suami isteri tidak lari daripada kesalahan dan kesilapan. “Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat” (Riwayat Ibn Majah). Hakikat sebagai manusia semestinya tidak terlepas daripada kekurangan dan ketidaksempurnaan. Amatlah digalakkan supaya setiap pasangan bermuhasabah diri serta menilai diri, mencari kesilapan diri, mencari kekurangan diri dan kelemahan diri agar dapat membaiki diri ke arah yang lebih baik.

Dalam merealisasikan muhasabah diri ini dalam kehidupan berumah tangga, terdapat dua kaedah muhasabah iaitu dengan merenung dan memerhatikan tingkah laku yang akan dilakukan agar tidak tergesa-gesa dalam melakukan sebarang tindakan yang tidak sepatutnya. Situasi ini sangat penting, kerana ia dapat membantu pasangan atau ahli keluarga mengetahui dan menyelidik terlebih dahulu sama ada ia baik atau buruk. Namun, ia perlu didorong dengan ilmu pengetahuan agar tidak menyimpang. (Al-Hasr, Ayat 18)
Keduanya pula ialah bermuhasabah dengan merenung perbuatan dan tingkah laku yang telah lalu serta mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Jika perbuatan tersebut menyalahi syariat dan bersifat mazmumah, maka pasangan tersebut perlu bertaubat dan menyesal serta nekad agar ia tidak berulang lagi.

Antara kesan daripada muhasabah ini dapat memupuk sikap bertolak ansur dalam memahami apa jua situasi cabaran dan perubahan yang berlaku. Bertolak ansur serta menghormati pandangan dan cadangan pasangan juga harus diamalkan selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam. Justeru, tidak ada salahnya jika suami isteri berkongsi pendapat dan mendengar luahan hati masing-masing dengan terbuka. Pendapat yang diutarakan perlu diambil kira bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati antara pasangan.

Oleh itu, sebarang masalah yang terjadi dalam melayari bahtera rumah tangga perlu diselesaikan dengan kembali kepada Allah serta mencari solusi dengan sabar berpandukan syariat Islam. – BebasNews

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here