blood, donation, donate
Photo by AhmadArdity on Pixabay
Oleh A. AMRI

KUALA LUMPUR – Kelazimannya kita sering dengar berita kekurangan serius bekalan darah disumbangkan para penderma prihatin, tetapi lain pula kali ini apabila berlaku lebihan stok.

Perkara aneh itu tular diperkatakan warganet tempatan susulan nasihat Pusat Darah Negara (PDN) yang meminta para penderma kumpulan AB agar menunggu tempoh enam bulan lagi.

Agensi di bawah Kementerian Kesihatan tersebut malahan memberi alasan bahawa status bekalan darah jenis itu pada ketika ini telah pun berada pada paras yang sangat memuaskan.

“Anda diminta untuk menjarakkan tempoh pendermaan selama enam bulan kerana stok darah AB di paras sangat memuaskan,” rayu PDN menerusi hantaran dalam akaun sosial rasminya.

Pusat berkenaan bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan golongan penderma tersebut bagi memastikan bekalan darah semasa sentiasa di paras yang agak baik.

PDN namun memberi jaminan sedia memaklumkan sebarang perubahan tempoh penjarakkan pendermaan darah yang akan juga dihebahkan oleh agensi berkenaan dari masa ke semasa.

Hantaran ‘nasihat’ itu menerima reaksi luar biasa terutama kalangan penderma darah, malah meraih hampir 1,500 tanda suka selain sejumlah 150 komen dan juga dikongsi lebih 200 kali.

“Pagi tadi pergi, kena ‘tolak’ sebab darah AB, dinasihat jarak enam bulan. Tidak apa, cukup masa kita datang derma,” kata seorang pengguna media sosial dengan nama Syaza Al Aniza.

“Kena tolak masa nak derma, alasan, maaf dik, ni sudah cukup dah. Kita nak darah jenis lain. AB memang selalu memuaskan stok agaknya,” luah netizen yang bernama Ainaa Sharuddyn.

“Alhamdulillah, saya memang darah AB, bukan kedekut walaupun derma tetap setiap tempoh tiga bulan, tetapi sebab tengah mengandung,” jelas netizen dikenali sebagai Sheriah Adam.

Dalam pada itu, PDN menerusi maklum balas ruangan komen berkata, penderma AB masih boleh datang di lebih 100 pusat derma darah tetap selain kempen bergerak di seluruh negara.

Setiap hari, agensi yang diasaskan sejak 1955 itu memerlukan antara 500 sehingga 600 beg darah untuk dihantar bagi keperluan pesakit di pelbagai hospital sekitar Lembah Klang sahaja.

Selain premis tetap PDN di Jalan Tun Razak, di sini, agensi itu turut ada suite khusus sendiri yang terletak di Midvalley Megamall Kuala Lumpur dan Puspanita, Presint 10, Putrajaya.

Secara purata, hampir 2,000 beg darah diperlukan di seluruh negara pada setiap hari untuk kegunaan ratusan pesakit terutama kes kemalangan jalan raya, denggi berdarah dan barah.

Sebahagian besar penduduk Malaysia dikenal pasti berdarah dari kumpulan 0 positif diikuti A positif dan B positif, manakala paling kurang ialah AB negatif disusuli B negatif dan A negatif.

Dianggarkan hanya sekitar 700,000 rakyat negara ini yang tampil sebagai penderma darah tetap secara berkala setiap tempoh jarak dibenarkan tiga bulan atau empat kali dalam setahun.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here