KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dilaporkan akan menyiasat dakwaan bahawa seorang pegawai polis boleh membeli pangkat superintendan.

Dakwaan itu timbul apabila seorang wanita membuat laporan polis bahawa diri dan keluarganya diugut bunuh apabila cuba mendapatkan kembali wang RM100,000 yang dipinjamkan kepada kawannya yang juga timbalan superintendan (DSP).

DSP itu dikatakan menyerahkan wang berkenaan kepada seorang lagi lelaki untuk dibayar kepada seorang pegawai kanan polis bagi mendapatkan pangkat terbabit.

Wanita, 36, yang bertugas sebagai jurubahasa mahkamah, mendakwa pegawai polis berkenaan bersetuju untuk memulangkan wang yang dipinjam pada 1 September lalu, jika perjanjian membeli pangkat tidak berjaya, lapor FMT.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Vijaya Rao Samachulu berkata, keterangan pegawai itu dan rakannya sudah diambil dalam siasatan kes ugutan jenayah.

Beliau mengesahkan ugutan maut itu didakwa dibuat 7 Oktober lalu di sebuah restoran di Taman Berkeley. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here