Darga Devi (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan bersama-sama dengan suaminya mendera dua kanak-kanak, antara Jun hingga September lalu.

JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera dua beradik sehingga mengalami kecederaan parah antara Jun hingga September lalu.

Walau bagaimanapun, R. Kartik, 32, dan isterinya, B. Darga Devi, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan cara memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop serta meletakkan pisau panas di tangan dan mencucuh rokok di seluruh badan selain menghantukkan kepala mangsa ke dinding.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dengan cara memukul menggunakan rotan dan batang mop serta meletakkan pisau panas di tangan dan mencucuh rokok di seluruh badan dan kemaluan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pasangan berkenaan secara bersama-sama dengan dua lagi yang sudah dituduh minggu lalu di mahkamah sama mengakibatkan kedua-dua mangsa terbabit trauma dan mengalami kecederaan pada tubuh badan mereka.

R. Kartik (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum didakwa atas dua pertuduhan bersama-sama isterinya mendera dua kanak-kanak.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Flat Selesa Jaya, Iskandar Puteri antara jam 8 malam hingga 1 pagi antara Jun hingga September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chab Choon Yew, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Munirah Najihah Shaari.

Choon Yew memohon supaya kedua-dua tertuduh tidak dibebaskan dengan sebarang jaminan atas alasan perbuatan yang dilakukan itu bersifat ganas dan kejam.

Namun, Munirah Najihah memohon jaminan dalam jumlah rendah diberikan kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak selain menanggung tiga anak berusia sembilan bulan hingga tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan suami dan isteri itu masing-masing diikat jamin sebanyak RM30,000 dan RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan empat orang penjamin.

Selain itu, pasport kedua-dua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu dan dilarang mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi-saksi.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 24 November depan. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply