Terminal 17 di Seksyen 17 Shah Alam

SHAH ALAM – Penjualan tiket bas di Terminal 17, di sini terutamanya perjalanan ke Pantai Timur mencatatkan jumlah luar biasa selepas kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan kelmarin.

Semakan mendapati lebih 2,000 tiket sudah terjual kepada penumpang sama ada menerusi kaunter dan secara atas talian. Daripada jumlah itu, 50 peratus melibatkan perjalanan ke Pantai Timur manakala bakinya ke utara dan selatan tanah air.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 1,015 tiket sudah terjual di kaunter terminal berkenaan setakat ini.

“Jumlah tersebut tidak termasuk jualan tiket secara atas talian yang juga dalam anggaran jumlah sama.

“Penjualan sebelum ini hanya 700 tiket sekali gus menunjukkan bahawa sambutan luar biasa diterima selepas kebenaran rentas negeri diumumkan,” kata beliau ketika ditemui di terminal tersebut hari ini.

Shahrin berkata, sebanyak 25 syarikat bas beroperasi di terminal itu yang melibatkan 50 trip perjalanan setiap hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menerusi pengurusan Terminal 17 akan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Semua penumpang perlu menunjukkan sijil vaksinasi bagi membuktikan mereka sudah lengkap dua dos suntikan,” katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong meminta semua pengusaha pengangkutan awam memastikan penumpang mematuhi SOP bagi perjalanan rentas negeri terutama lengkap vaksinasi.

Setiap penumpang atau pengguna pengangkutan itu wajib menunjukkan sijil vaksinasi masing-masing bagi membuktikan mereka sudah menerima dua dos suntikan.

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula semalam.

Terminal 17 yang dibuka dua tahun lalu dilengkapi sistem tiket berpusat dan paparan skrin maklumat destinasi bagi kemudahan pengguna. –BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here