SKUAD negara terpaksa menanti beberapa bulan lagi untuk menikmati aksi sepak takraw antarabangsa sejak 2020.

SEMAKIN lama dan kian berlarutan penantian para pemain sepak takraw untuk kembali beraksi di pentas antarabangsa gara-gara pandemik Covid-19 sejak tahun 2020.

Terbaharu, dua pertandingan besar dan terdekatnya iaitu Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 dan Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia (AIMAG) Keenam diumumkan terpaksa ditunda lagi.

Piala Raja Thailand yang tidak dapat dilangsungkan pada tahun 2020 dan 2021, pernah dijadualkan semula pada 16 hingga 23 Januari 2022.

Namun berita terbaharu daripada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) menyatakan, kejohanan antarabangsa tertua di dunia itu ditunda lagi ke 24 hingga 31 Julai 2022 pula.

“Istaf mendapat pengumuman tarikh baharu Piala Raja Thailand ini daripada Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Boonchai Lorhpipat yang juga Timbalan Presiden Istaf.

“Sebab utama penundaannya masih berkaitan Covid-19,” kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader kepada BebasNews.

ABDUL Halim Kader (dua dari kanan) dan Boonchai Lorhpipat.

Istaf telah memberikan kebenaran dan status Kejohanan Dunia kepada Piala Raja Thailand sejak hampir sedekad lalu. Trofi tersebut menjadi rebutan khas dalam acara regu berpasukan.

Kebiasaannya Piala Raja Thailand diadakan sebagai medan pemanas badan negara-negara yang terbabit dalam Sukan SEA atau Sukan Asia.

Namun Sukan SEA Hanoi turut belum dapat dipastikan tarikh baharunya setelah tuan rumah Vietnam mengumumkan penundaannya dari bulan November ini.

Tahun ini juga bakal menyaksikan Sukan Asia Hangzhou dari 10 hingga 25 September yang mempertandingkan regu berpasukan, antara regu dan kuadran (lelaki dan wanita).

Penundaan AIMAG yang turut mempertandingkan sepak takraw di antara 29 jenis sukan, diumumkan Majlis Olimpik Asia (OCA) menerusi laman sosialnya, semalam.

AIMAG Keenam mulanya dijadualkan dari 21 hingga 30 Mei 2021 di Bangkok dan Chonburi namun pernah ditunda ke 10 hingga 20 Mac 2022, juga gara-gara Covid-19.

MALAYSIA yang dibimbing Haris Abdul Rahman (berdiri, dua dari kiri) menjuarai Piala Raja Thailand pada 1988.

Sebanyak 11 pingat emas sepak takraw ditawarkan AIMAG iaitu dalam acara regu berpasukan lelaki, regu berpasukan wanita, beregu campuran dan beregu campuran berpasukan.

Lain-lain termasuk antara regu campuran, antara regu campuran berpasukan, kuadran campuran, kuadran campuran berpasukan, gelung lelaki, gelung wanita dan gelung campuran.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here