Oleh Zainal AS Rashid

SIRI drama Korea Selatan Squid Game yang berkonsepkan dimensi kehidupan distopia menakutkan kini menyerlah sebagai siri paling popular di Netflix dengan kemampuan menarik lebih 111 juta peminat sejak mula dipersembahkan kurang empat minggu lalu.

Siri hit luar biasa itu merupakan imaginasi dunia menakutkan di mana kumpulan manusia berlawan di antara satu sama lain melalui platform permainan kanak-kanak yang akhirnya menyaksikan si pemenang mendapat hadiah wang tunai jutaan ringgit, manakala yang kalah pula dibunuh.

Menurut sukatan metrik dalaman Netfflix, populariti Squid Game yang ditularkan ke seluruh dunia melalui media sosial kini telah menduduki tempat teratas di lebih 80 negara, berbanding siri Bridgerton yang hanya mencecah 82 juta penonton sewaktu mula disiarkan.

Apa yang nyata kejayaan Squid Game telah menonjolkan sekali lagi kehebatan pengaruh global budaya popular diilhamkan oleh Korea Selatan, seperti mana fenomena K-Pop, BTS dan filem Parasite yang memenangi Oscar.

Ia juga merupakan satu lagi kejayaan Netflix dalam usaha menerbitkan lebih banyak kandungan antarabangsa dan kandungan bukan berbahasa Inggeris. Trend tersebut mengikut jejak kejayaan siri popular berbahasa Perancis, Lupin.

Bagi Squid Game, Netflix menawarkan versi yang dialih bahasa dan yang mempunyai sari kata pelbagai bahasa bagi meluaskan jangkauan tontonan.

Pada Februari lalu, Netflix sebagai platform tontonan distrim paling popular mengumumkan rancangan untuk memperuntukkan sejumlah AS$500 juta untuk mendapatkan beberapa program bersiri, termasuk filem yang dihasilkan oleh Korea Selatan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here