Oleh Fetty Rara

SEBAGAI persiapan untuk menerima kira-kira 50,000 pengunjung ke Pulau Pinang hujung minggu ini, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membekukan cuti 2,342 kakitangan.

Menurut Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang pembekuan cuti itu adalah untuk memastikan perkhidmatan lebih berkesan susulan kebenaran orang ramai merentas negeri bagi mereka yang lengkap vaksinasi bermula Isnin lepas.

“MBPP akan membekukan cuti rehat ke atas 2,342 daripada 3,019 kakitangan atau 78 peratus melibatkan staf perkhidmatan penting seperti kesihatan, persekitaran, penguatkuasaan, pelesenan, perkhidmatan perbandaran, landskap dan kejuruteraan untuk tempoh 15 hingga 19 Okt ini.

“Bagi kakitangan yang telah mendapat kelulusan cuti rehat diminta untuk membatalkan cuti dan datang ke tempat kerja bagi memastikan keadaan di bahagian pulau terjaga,” katanya kepada media pada sidang media maya di George Town pada Rabu (13 Okt).

Beliau berkata antara persiapan MBPP termasuk menangani trafik yang dijangka mencabar kerana peningkatan jumlah kenderaan ke negeri itu dan pengurusan sampah sarap.

Dalam pada itu, Yew berkata MBPP akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pematuhan ketat SOP oleh pengunjung dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19.

“Selain penguatkuasaan fizikal, MBPP juga akan mengoptimumkan penggunaan lebih 1,000 kamera litar tertutup (CCTV) dan pembesar suara di kawasan tumpuan dan restoran,” katanya.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here