KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mempertikaikan dakwaan penubuhan Yayasan Akalbudi membasmi kemiskinan apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Ahmad Hamidi menggunakan dananya untuk menyumbang RM1.3 juta kepada sebuah kelab bola sepak enam tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, memberi wang kepada kelab profesional seperti Persatuan Bola Sepak PDRM tidak termasuk dalam objektif Yayasan Akalbudi.

Mahkamah diberitahu wang RM1.3 juta itu yang dibayar kepada pasukan polis bertujuan membayar gaji tertunggak pemain selama empat bulan.

“Ini ialah kelab bola sepak, bukannya ‘soup kitchen’ atau bank makanan dikendalikan NGO. Kelab itu milik polis dan mereka mengambil pemain profesional. Hujah pendakwaan ialah kekurangan wang itu tidak menjadikan seseorang itu miskin,” kata beliau, lapor FMT.

Zahid sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

Dua belas daripada tuduhan itu membabitkan pecah amanah, lapan untuk rasuah dan baki 27 dakwaan bagi pengubahan wang.

Sementara itu, Rozela juga mempersoalkan Yayasan Akalbudi tidak memiliki sebarang kereta dan motosikal mewah, walaupun dananya digunakan untuk membayar polisi insurans kenderaan yang pemiliknya adalah Ahmad Zahid, isterinya Hamidah Khamis dan bekas pembantu, Juhari Janan.

Timbalan Pendakwa Raya berkata, dana berjumlah RM107,509.55 daripada yayasan berkenaan digunakan untuk membayar polisi insurans kenderaan.

“Jejak wang polisi insurans kenderaan masih utuh dan telah disahkan bahawa penjualan dan pembelian dibuat menggunakan cek Yayasan Akalbudi. Tidak ada (antara kenderaan berkenaan) yang berdaftar bawah Yayasan Akalbudi,” kata Rozela.

Mahkamah diberitahu bahawa Zahid dan Hamidah juga memiliki lebih 20 kereta dan motosikal mewah merangkumi jenis Mercedes Benz, BMW, Audi, Chrysler, Harley Davidson dan Ducati.

Rozela berkata, Zahid juga memiliki lima kad kredit Ambank dan Maybank, dan dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk melunaskan bayarannya.

Sebanyak RM1.3 juta dicaj kepada kad kredit Zahid antara tahun 2014 dan 2016. Kad-kad itu digunakan di pelbagai kedai berjenama di sini dan di luar negara.

“Apabila dilihat penyata kad-kad berkenaan, kita dapat lihat tabiat perbelanjaan tertuduh (Zahid) dan isterinya.

“Ini bukan isunya dalam kes kami, tetapi kami tertanya-tanya: Ketika mereka berbelanja besar di Armani, Louis Vuitton and Hermes, adakah mereka fikir tentang rakyat, terutamanya golongan miskin di Bagan Datuk?” soal Rozela, merujuk kepada kawasan Parlimen diwakili Zahid.

Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah esok – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here