Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan rasuah yang dibuat oleh Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berhubung projek penambakan laut di Melaka.

SPRM dalam kenyataan ringkasnya di sini berkata, satu kertas siasatan berhubung isu tersebut telah dibuka sebelum ini dan aduan yang dibuat Lokman akan dikepilkan dalam kertas siasatan tersebut.

“SPRM akan melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung kes ini meliputi semua aspek yang dibangkitkan dalam aduan tersebut,” ujarnya.

Petang tadi, Lokman membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya berhubung dakwaan kononnya berlaku aktiviti rasuah membabitkan pemberian konsesi penambakan laut di Melaka.

Lokman memberitahu, pihaknya mendapat maklumat bahawa, ada individu menerima habuan bagi mempengaruhi Kerajaan Melaka untuk menganugerahkan projek penambakan laut itu.

“Siasatan kami mendapati, projek penambakan itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat di mana 70 peratus penguasaan sahamnya dimiliki warga asing.

“Syarikat itu didapati didaftarkan di Singapura pada 12 Jun lalu. Malah, lebih merisaukan syarikat itu turut memperoleh lesen pelabuhan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya.

Beliau menambah, siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan nama baik UMNO diselamatkan sebelum individu itu dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

SPRM sebelum ini meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan kemudian menyatakan kesediaan untuk membantu siasatan SPRM berhubung pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here