KUALA LUMPUR – Rumahku syurgaku.

Demikian impian setiap pasangan yang sudah sah bergelar suami isteri untuk menduduki kediaman selesa bagi melayari bahtera rumah tangga.

Pun begitu bukan mudah untuk mencari kediaman sesuai lebih-lebih lagi ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 lebih setahun lalu.

Namun cabaran itu perlu disusun dengan teliti dan baik oleh pasangan agar tidak tersalah pilih rumah.

Di sebalik ujian pandemik dan cabaran mendapatkan kediaman yang diidamkan terselit kisah mencuit hati buat seorang pengguna TikTok menerusi akaun @aqim03.

Beliau berkongsi kisah mengujakan mengenai kediaman yang disewanya bersama isteri selepas mendirikan rumah tangga sejak lima bulan lalu.

Terselit satu rahsia yang ditutup rapi oleh si isteri berkaitan rumah sewa mereka yang baru sahaja diketahui si suami baru-baru ini.

Ternyata kediaman yang mereka diduduki itu merupakan rumah milik isteri kepada Aqim.

Aqim dalam kapsyen videonya mencatatkan bahawa beliau dan isteri merancang untuk menyewa rumah, sementara mereka mengurus kewangan dan komitmen lain dengan baik.

Berikutan itu, si isteri berjaya mendapatkan rumah sewa, tetapi selepas lima bulan terbongkar satu rahsia.

Rumah yang mereka sewa itu adalah kepunyaan isterinya.

Isteri sendiri jadi tuan rumah rupanya! Isteriku owner rumahku.

Video yang diberi tajuk ‘kena game’ itu sudah ditonton lebih 729,000 kali, menerima 75,800 tanda suka, lebih 1,668 komen dan 1,800 perkongsian.

Selepas dimuat naik sejak tiga hari lalu, video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menyifatkan ia sebagai menghiburkan, mencuit hati dan mengujakan.

Malah ada dalam kalangan warganet pernah mengalami pengalaman sama.

Seorang pemilik akaun, Hann Haidar menukilkan; “Kawan saya selepas dua tahun kahwin baru tahu rumah sewa itu milik isteri”.

Zulaikha pula menitik pesanan agar si suami kekal konsisten membayar sewa rumah itu biarpun sudah mengetahui pemilik kediaman tersebut.

“Jaga-jaga bang. Tak bayar sewa dia tukar penyewa baru yang lagi hensem. Abang seorang je kena keluar,” ujarnya.

Fazi Zainal pula mengusik si suami dengan catatan; “Teruskan bayar sewa bang. Takut dia tukar penyewa nanti. Anggaplah itu untuk simpanan bagi rumah kedua pula”.

Malah ada juga pengguna yang memuji kebijaksanaan si isteri; “Bagus idea isteri awak. Bijak. Teruskan bayar sewa rumah,” tulis Limogi.

Khairul Fatah pula mengusik pasangan itu; “Lima bulan isteri senyum, bayar rumah tak usik gaji”.

Seorang pengguna, Mohd Yusoff pula mendoakan kebahagian buat pasangan itu.

“Semoga bahagia selalu, bukan senang nak dapat bini pandai jimat duit. Jimat banyak, laki bayar sewa,” tulis beliau.

BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here