Oleh Sarfarizmal Saad

PERLU apa kita takut dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berani mengatakan berada di pihak yang benar. Sebagai seorang Islam, kita didik tanpa goyah untuk meyakini kebenaran akan menghapus kebatilan.

Bukankah begitu agama mengajar kita? Inilah sepatutnya pegangan orang yang mengaku bahawa diri sebagai pejuang tulen kebenaran tanpa pantas menuding jari dan membuat dakwa dakwi terhadap orang lain.

Sejak kebelakangan ini, terdapat pihak tertentu terus mencanang dan memberi gambaran kononnya seolah-olah tiada tindakan yang diambil terhadap perbuatan salah guna kuasa termasuk kepada pemberi rasuah. Bahkan pemberi maklumat juga didakwa takut untuk tampil dan kebenaran tidak dilindungi.

Benarkah dakwaan itu?

Bukankah hampir saban hari ada sahaja, pelaku penyelewengan atau salah guna kuasa ditangkap, terpampang di akhbar dan bacalah di media sosial, bukan sekadar ikan bilis tetapi juga ikan jerung yang sesetengah kesnya sedang dibicarakan.

Malah mereka yang dahulu begitu yakin bahawa kejahatan mampu disembunyikan untuk sekian lama tidak lagi mudah berasa selamat. Rahsia bakal terbongkar juga sebelum diheret untuk dakwa dan dihukum, sekali gus menunjukkan usaha keras dilakukan SPRM membebaskan negara daripada jenayah rasuah.

Seperti mana SPRM, kita juga kecewa bahawa Malaysia sudah kurang lebih seperti mana negara dunia ketiga, penyelewengan dan salah guna kuasa bersarang dan imej di mata dunia jatuh merudum.

Namun lawan tetap lawan, kita perlu akur, bukan semua kes akan berpihak kepada SPRM. Kadang banyak masa dan tenaga terbuang. Bukan sedikit yang dihukum dan tidak kurang juga terpaksa dibebaskan termasuk kes Tengku Adnan Mansor, lantas bagaimana mungkin kita mengatakan SPRM masih bersikap berat sebelah.

Barangkali diri kita sendiri patut ditanya, jujurkah kita melemparkan ‘tuduhan’ sebelum sembunyi tangan? Bolehkah dinamakan kebenaran jika hanya secocok dengan sudut pandangan kita yang penuh muslihat.

Begitu halnya tindakan ahli politik yang gemar ‘berkokok’ di media sosial tapi enggan tampil ke hadapan untuk melaporkan diri mereka dipujuk atau ditawarkan jawatan yang berbau rasuah termasuk dalam kes berkaitan ahli Parlimen Labuan sebelum menuduh pihak berkuasa tidak mengambil tindakan.

Banyak juga pihak terutamanya pembangkang yang lupa atau sengaja memandang sebelah mata tentang fakta yang ada. Pihak berkuasa seperti SPRM perlu disokong sepenuhnya dan diperkasa bukan dijadikan sebagai budak belasahan mengikut selera politik kita.

Begitu juga semak dahulu sebelum membuat tuduhan melulu. Kita perlu tahu bahawa sebelum dan selepas pesalah diheret ke muka keadilan, pemberi maklumat dilindungi melalui akta yang sudah sememangnya tersedia. Sebagai contoh Akta Perlindungan pemberi Maklumat 2010 (AKTA 711).

Bahkan sebelum ini SPRM mengingatkan berkali-kali bahawa pemberi maklumat HANYA DILINDUNGI jika memberikan maklumat mengikut saluran yang betul dan bukan mendedahkannya dI media sosial untuk dilihat sebagai jagoan atau pejuang anti penyelewengan.

Pemberi maklumat diberikan kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah.

Terdapat banyak misalannya, pemberi maklumat tentang perbuatan rasuah majikannya. Jika majikannya ingin mengambil tindakan balas seperti membuang kerja si pemberi maklumat itu, maka pemberi maklumat itu adalah dilindungi di bawah akta ini.

Sekiranya semua kes penyelewengan dan salah guna dan pelakunya ‘ditelanjangkan’ di media sosial, SPRM bukan hanya sukar untuk melakukan siasatan, bahkan maklumat penting atau bukti mungkin sudah dimusnahkan.

Jangan juga persalahkan pihak berkuasa jika akhirnya diri sendiri didakwa kerana gagal melaporkan salah laku atau penyelewengan kerana sememangnya menjadi tanggungjawabnya semua.

‘Pujuk dan rayu’ SPRM sebelum ini seperti mencurah air di daun keladi, malah politikus yang bergelar wakil rakyat juga gagal menunjukkan teladan yang baik. Lihat sahaja kes terbaharu dakwaan penyelewengan tambak pasir di Melaka yang menyaksikan tuduh menuduh di ruangan maya.

Pendek kata, kenapa perlu disalahkan orang lain jika kesilapan itu adalah berpaksi kepada diri sendiri. Semua pihak perlu bersikap jujur jika benar mahu menyelamatkan negara daripada kemelut rasuah dan bukan menjadikan orang lain sebagai kambing hitam. –BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply