Oleh Prof Dr Nik Ahmad Kamal Bin Nik Mahmod

DALAM menjalankan tanggung jawab mereka membenteras rasuah, SPRM tidak terlepas dari terjebak dalam isu-isu kontroversi. Kes-kes besar yang melibatkan pemimpin-pemimpin politik khususnya sering menjadi tumpuan ramai.

Dalam konteks ini kadang kala sukar untuk mengenepikan cakap-cakap bahawa keputusan untuk membuat siasatan dan membawa kes ke mahkamah didorong oleh kuasa-kuasa politik dan berlandaskan kepentingan kerajaan yang memerintah. Lantas pelbagai andaian timbul apabila kerajaan bertukar, bekas pemimpin kerajaan yang lalu yang dituduh di mahkamah atas kesalahan salahguna kuasa dan rasuah adalah satu bentuk balas dendam dan “witch-hunting” yang dipelopori oleh kerajaan baru.

Dalam situasi yang lain pula, apabila berlaku konflik antara dua puak dalam sesebuah parti politik, pemimpin-pemimpin yang dituduh di mahkamah kerana salahguna kuasa dikatakan telah menjadi mangsa oleh puak yang satu lagi. Dalam konteks ini, SPRM mempunyai beban yang lebih besar untuk menyakinkan semua bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan dan mereka tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan sesuatu kumpulan atau puak yang bertelingkah.

Pertuduhan yang dibawa terhadap Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan adalah satu contoh klasik senario tersebut. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 iaitu sebagai seorang pegawai awam telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan. Menurut fakta pertuduhan, beliau telah memberi kontrak sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan kepada sebuah syarikat yang mana bapa dan adik beliau mempunyai kepentingan di dalam syarikat tersebut.

Menurut kenyataan dari Datuk Rozman Isli, siasatan dan pendakwaan terhadap beliau bermotifkan politik dan merupakan satu tekanan kepada beliau supaya mengubah pendirian dan sokongan politik beliau kepada pemimpin tertentu.

Berdasarkan laporan berita, siasatan terhadap beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan telah dilakukan pada bulan Januari 2020 dan izin mendakwa dari Penolong Pendakwaraya telah dikeluarkan pada bulan Julai 2021. Keputusan untuk mendakwa beliau dikeluarkan sebelum pertukaran kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri baharu. Malah MoU yang diumumkan oleh PM dibuat pada bulan September iaitu dua bulan selepas izin mendakwa dikeluarkan.

Oleh itu dari segi fakta sukar dan pada amnya mustahil untuk mengaitkan keputusan SPRM membuat pendakwaan disebabkan beliau tidak mahu menyokong Perdana Menteri DS Ismail Sabril. Yang jelas kes siasatan sudah dibuka dan izin mendakwa sudah diberikan sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai PM.

Episod ini menunjukkan bahawa SPRM berdepan dengan pelbagai persepsi ketika melaksanakan tanggung jawab mereka di bawah Akta SPRM. Ini termasuklah tuduhan bahawa SPRM telah dijadikan alat untuk membuat tekanan-tekanan berbentuk politik demi kepentingan parti atau pemimpin politik yang lain.

SPRM perlu menanganinya dengan berhati-hati kerana setiap pergerakan yang dibuat boleh disalahertikan sehingga boleh menyebabkan kredibiliti SPRM dipersoalkan. Ia juga satu pengajaran penting kepada SPRM untuk memastikan bahawa setiap tindakan mereka berlandaskan fakta dan perundangan yang jelas dan tidak boleh disangkal dengan mudah. Ia juga satu pengajaran supaya SPRM benar-benar bebas dari pengaruh pihak eksekutif dalam membuat sebarang keputusan. Saranan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen tampak semakin relevan akibat dari episod-episod seumpama ini.

Apa yang menarik dalam konteks fungsi keseluruhan SPRM dalam membenteras rasuah ialah siasatan terhadap sesuatu kesalahan di bawah tanggung jawab SPRM tetapi keputusan pendakwaan atau izin mendakwa diputuskan oleh Pendakwa Raya. Lantas wujud semak dan imbang disini kerana samada kes akan dibawa ke mahkamah atau sebaliknya adalah bukan keputusan SPRM.

SPRM tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan pendakwaan kerana ia terletak di tangan Pendakwa Raya. Justeru cadangan supaya SPRM diberi kuasa pendakwaan mungkin perlu dilihat kembali kerana kesan negatif yang lebih besar akan berlaku seolah-olah SPRM ialah “judge, jury and executioner”.

– Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod bertugas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply