airport, terminal, travel
Photo by MichaelGaida on Pixabay
Oleh Dr. Azmawaty Mohamad Nor

PERALIHAN ke fasa endemik pada Oktober ini bukan bermakna Malaysia mengaku kalah dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19. Sebaliknya, ia merupakan satu realiti yang sepatutnya diterima oleh semua pihak dalam menyesuaikan diri untuk hidup bersama virus. Istilah endemik merujuk kepada kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata dalam satu sidang akhbar di kementerian, “Walaupun kita pada asalnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi dengan virus yang merebak dengan begitu cepat, ditambah pula dengan kemunculan varian baharu telah mengajar untuk terima hakikat ini”, respon beliau ketika ditanya berhubung dakwaan Malaysia mengaku kalah apabila pandemik COVID-19 ini akan diklasifikasikan sebagai endemik.

Walaupun akan berlakunya peralihan fasa dari pandemik kepada endemik, ini bukan bermakna kita sudah bebas dari wabak COVID-19, malah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dipatuhi. Pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, penjagaan dari aspek kebersihan seperti kekerapan sanitasi diri serta mengelakkan 3S iaitu tempat sesak, sempit dan sembang dekat masih perlu diamalkan dalam kehidupan seharian kita.

Walaupun angka kes COVID-19 semakin menurun saban hari, kita haruslah belajar untuk menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama virus ini. Kehidupan dalam fasa endemik atau ‘hidup bersama virus’ tidak bermakna kita sudah boleh menarik nafas lega sebaliknya ia memerlukan kerjasama, kepekaan dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Slogan “Kita jaga kita” sangat bersesuaian untuk diguna pakai menjelang fasa endemik ini. Walaupun negara akan berada dalam fasa endemik, setiap individu perlu saling mematuhi SOP agar penularan wabak ini tidak meningkat dan seterusnya dapat merealisasikan slogan “lindung diri, lindung semua”. Dalam menuju fasa endemik ini, pemerkasaan komuniti sangat penting bagi setiap kelompok masyarakat dalam mendepani fasa endemik tidak kira lapisan umur, jantina, bangsa dan agama.

Persediaan ini merangkumi beberapa aspek penting seperti mental, fizikal dan ekonomi. Dari segi mental misalnya, setiap kelompok masyarakat mestilah kekal berfikiran positif dalam mendepani apa-apa kemungkinan yang akan berlaku disebabkan wabak COVID-19. Masyarakat seharusnya tidak mudah menerima dan mempercayai sebarang spekulasi atau berita palsu yang tersebar di media sosial. Justeru, sesuatu berita dan informasi yang diterima haruslah dikenal pasti kesahihannya terlebih dahulu seiring dengan slogan “tidak pasti, jangan kongsi”. Selain itu, masyarakat juga mestilah menitik beratkan kesihatan mental dan tidak memandang enteng sekiranya mengalami masalah seperti stres, kemurungan, kebimbangan, dan lain-lain lagi. Corak pemikiran yang positif akan membawa kepada emosi dan tingkahlaku positif yang boleh membantu masyarakat dalam mendepani kehidupan dalam fasa endemikl.

Pemerkasaan diri dari segi fizikal pula adalah merujuk kepada langkah yang ditonjolkan dalam setiap tindakan masyarakat. Meskipun kelonggaran aktiviti bersosial telah dilaksanakan oleh kerajaan, kita mestilah kekal mematuhi saranan kerajaan seperti mematuhi SOP, mendapatkan vaksinasi, dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Setiap rakyat mestilah bekerjasama dalam membendung wabak COVID-19 ini dan tidak memanipulasikan keadaan semasa seperti penyebaran berita palsu dan seumpamanya. Ini adalah kerana, negara masih belum pulih sepenuhnya dan setiap rakyat Malaysia haruslah berwaspada dan mengambil iktibar daripada kecuaian yang telah berlaku sebelum ini. Pemerkasaan diri amatlah penting dalam memastikan rakyat terus kekal sihat.

Tidak dapat dinafikan, semenjak negara mengetatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat sebilangan besar kelompok masyarakat yang terjejas ekonominya sedangkan kewangan merupakan aspek yang sangat penting untuk kelangsungan hidup. Oleh itu, pemerkasaan komuniti dalam mendepani fasa endemik turut menitik beratkan aspek ekonomi. Setiap rakyat Malaysia dilihat amat kreatif dalam menjana pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi. Pandemik ini telah mengakibatkan wujudnya kekangan berbelanja secara terus atau bersemuka, maka platfom dalam talian merupakan peluang keemasan yang boleh dipertimbangkan oleh golongan peniaga untuk berniaga melalui kaedah E-Dagang.

Selain itu, agensi-agensi yang terjejas bolehlah mencari solusi bagi memastikan perkhidmatan masih berjalan. Sebagai contoh, zoo-zoo di seluruh negara turut terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, mereka masih boleh meneruskan perkhidmatan melalui kaedah yang berbeza seperti ‘virtual tour’. Usaha-usaha segelintir agensi seperti Zoo Negara dalam mengadakan sesi ‘Zoo Negara Virtual Tour’ adalah dapat dipuji dan dicontohi. Ini membuktikan bahawa agensi ini masih bersemangat dan tidak mudah melatah dengan situasi semasa yang melanda negara.

Malah, mereka juga bijak dalam mencipta peluang yang ada. Contoh lain, agensi perhotelan turut mengalami nasib yang sama disebabkan banyak agensi pelancongan yang tidak dibenarkan beroperasi susulan penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pintu sempadan ditutup, manakala kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan bagi membendung penyebaran virus berkenaan. Baru-baru ini, kita telah dikhabarkan dengan usaha yang ditunjukkan oleh kakitangan hotel yang sanggup turun padang untuk mempromosikan makanan yang dihasilkan hotel berkenaan di tepi jalan. Inisiatif ini terpaksa dilakukan demi kelangsungan pekerja dan operasi hotel susulan perniagaan yang susut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu, pemerkasaan komuniti dalam mendepani fasa endemik mestilah diberi perhatian yang sewajarnya agar rakyat dapat menerima hakikat bahawa negara akan berada dalam fasa endemik. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengambil langkah drastik agar lebih bersedia dan belajar ‘hidup’ bersama virus COVID-19 kerana semua pihak harus menerima kenyataan bahawa virus tersebut telah menular di dalam komuniti. Justeru itu, telah menjadi tanggungjawab utama bagi setiap masyarakat dalam mengamalkan kelaziman atau norma baharu serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib dari masa ke semasa. – BebasNews

 

Azmawaty Mohamad Nor

Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Kaunselor Berdaftar dan berkhidmat di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Please follow and like us:

Leave a Reply