SHAH ALAM – Timah adalah nama yang sinonim dengan wanita Melayu.

Jika ejaan penuh mungkin namanya adalah Fatimah.

Lagu 1960 an pop yeh yeh nyanyian A.Ramlie dan The Rhythm Boys ada yang bertajuk Oh Fatimah.

Kisah gadis ayu dari Palembang yang cantik paras rupa dan berleher jinjang.

Kebelakangan ini nama Timah kembali menjadi sebutan disebabkan minuman beralkohol atas jenama tersebut.

Terdapat beberapa pihak yang mendesak nama arak tersebut ditukar.

Kerajaan Pusat semalam menafikan hubung kait pihaknya dengan pengeluaran arak jenama tempatan itu sebagaimana tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, adalah tidak wajar mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan.

Katanya,perusahaan sebegitu (minuman keras) memang wujud dalam negara kita, tetapi bukan kerajaan yang keluarkan minuman itu.

Jelasnya, bukan usaha kerajaan, tetapi ia adalah inisiatif pihak lain, tiada pun campur tangan kerajaan dalam perkara tersebut.

Ahmad Marzuk berkata demikian menurut laporan media tempatan pada majlis penyampaian bantuan pek makanan kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Bangunan Tabung Haji (TH) Kelantan semalam.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, Pas yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sentiasa bertegas dan konsisten membantah penjualan minuman keras di negara ini.

Katanya, perkara itu selari dengan asas perjuangan Pas sejak dahulu lagi.

Ujarnya lagi, Pas sedia menjadikan Kelantan sebagai model dalam mengawal penjualan minuman itu.

Ulas Marzuk lanjut, orang bukan Islam nak minum arak dan jual arak dalam kalangan mereka (bukan Islam) boleh tetapi dalam kapasiti yang melihat kepada berapa jumlah keperluan itu.

Namun persoalan ini menjadi panas kerana nama Timah bukan sahaja tebal kemelayuannya seperti nama Kiah mahupun Bedah. Ini disebabkan Timah adalah singkatan nama daripada nama Arab.

Timbul persoalan, apakah motif sebenar memberi nama sedemikian untuk minuman keras yang diharamkan untuk orang Islam.-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply