Foto FB JKJAV
Oleh Yeap Ming Liong

KEPUTUSAN kerajaan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bermula minggu ini amat dialu-alukan seluruh lapisan masyarakat. Hampir seluruh rakyat Malaysia telah mengharungi tempoh kesusahan masing-masing apabila hampir dua tahun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Namun, kita tidak boleh mengambil kesempatan ke atas kelonggaran yang diumumkan tersebut. Jangan ambil sikap lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, penjagaan jarak serta pengimbasan kod QR MySejahtera adalah wajib dilaksanakan walaupun negara mencatatkan penurunan kes yang amat ketara berbanding beberapa bulan terdahulu.

Rakyat Malaysia perlu akur kepada hakikat yang pematuhan prosedur operasi standard adalah sesuatu perkara yang akan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita semua. Terdapat kemungkinan yang ia tidak akan berlarutan selama-lamanya dan realiti tersebut mungkin dapat dicapai lebih awal dengan kerjasama padu semua pihak.

Kita perlu ingat yang kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pelitup muka, penjarakan fizikal dan cecair sanitasi tangan adalah peralatan semata-matanya dalam perang menentang virus Covid-19. Sikap dan mentaliti seseorang itu juga membawa nilai yang sama dalam usaha kita memerangi wabak tersebut.

Dalam pada itu, saya tidak dapat menafikan yang ramai juga yang terkesan akibat wabak Covid-19. Selain daripada impak ketara kepada ekonomi negara kita semua juga menyaksikan perniagaan ataupun bisnes yang tidak dapat mengharungi cabaran dan terpaksa tutup, rekod kadar pengangguran yang tinggi dan juga terdapat individu yang hilang pekerjaan.

Apa yang lebih menyayat hati adalah terdapat juga mereka yang terputus bekalan makanan. Keadaan tersebut walaupun tragis dan sedih telah menyerlahkan lagi semangat perpaduan yang memang telah dipraktikkan secara berterusan selama ini iaitu konsep “Kita Jaga Kita”.

Ini terbukti dengan kemunculan inisiatif seperti pengedaran bakul makanan dan juga gerobok rezeki. Ia menunjukkan yang semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia tidak sahaja diperkukuhkan malah patut diberi pujian.

Pemulihan ekonomi negara dijangka berlaku seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi. Kejayaan tersebut juga bergantung kepada kerjasama dan penyatuan semua rakyat Malaysia. Semangat perpaduan yang ditunjukkan apabila negara dilanda musibah adalah sesuatu yang mulia dan perlu berlarutan pasca pandemik dan dijadikan amalan cara hidup.

Ini adalah Malaysia kita bersama. – BebasNews

Subang Jaya Selangor

Please follow and like us:

Leave a Reply