Daqmie dan JM (Julinda Miswan) sewaktu melancarkan Box Kasih & Rindu Aura Rezeki di Kajang, baru-baru ini.

Oleh Khadijah Ibrahim

KALAU sebut nama Daqmie, mesti ingat yang beliau pernah menjadi penyanyi utama untuk kumpulan rock dan metal iaitu Barongan pada 2003 dan sempat tampil dengan album Asal.

Sebenarnya Daqmie bukan setakat boleh menyanyi, malah merupakan tulang belakang dalam pembikinan album penyanyi lain kerana beliau merupakan jurutera bunyi, penolong penerbit, penerbit, pemuzik dan penggubah lagu.

Sejak pandemik melanda, Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap, 50, tidak menafikan yang beliau turut terkesan kerana tidak ada pekerjaan.

“Sebelum ini, boleh dikatakan setiap bulan ada saja yang mahukan khidmat saya untuk pembikinan album kerana saya bekerja di dalam studio. Dah nak masuk dua tahun, tak ada kerja dan wang simpanan makin lama makin habis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Bila JM (Julinda Miswan) hubungi saya minta satu lagu, saya balas balik kata nak bagi 10 lagu baharu kepadanya. Bukan apa, saya sangat teruja bila mendapat permintaan daripada JM kerana sebelum ini setiap kali menjelang Maulidur Rasul, saya dan rakan-rakan akan berbuat sesuatu.

Sidang media pelancaran Box Kasih & Rindu turut diadakan secara bersemuka dan virtual.

“Permintaan daripada JM ini ibarat orang mengantuk disorong bantal. Selain untuk menuar-uarkan kisah Baginda Rasul, projek bersama JM ini dapat juga bantu termasuk diri saya sendiri. Saya tak malu beritahu lebih kurang 10 keluarga dapat dibantu menerusi projek ini. Jika ramai yang membeli Box Kasih & Rindu Aura Rezeki ini, insya-Allah dapat membantu lebih ramai lagi keluarga yang terkesan,” katanya.

Tambah Daqmie, beliau mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan 10 buah lagu baharu yang dimuatkan dalam Box Kasih & Rindu Aura Rezeki yang turut disertakan dengan garam mandian wangian khas, pamphlet dan QR ode di mana pembeli boleh scan untuk mendapatkan lagu.

“Box ini dibuat dalam masa tiga bulan khas untuk Maulidur Rasul. Dalam keadaan sekarang (pandemik) orang akan rasa susah hati. Sedikit sejarah kenapa kami buat benda ini kerana Aura Rezeki, konsepnya adalah terapi dalam bentuk mandian garam dan lain-lain yang berorientasikan garam. Pihak saya pula lebih fokus kepada muzik dan bila kita bekerjasama, dua-dua ada keupayaan untuk melaksanakannya iaitu sebagai terapi untuk motivasi orang lain.

“Saya cakap pada JM, terapi Aura Rezeki berbentuk benda fizikal, manakala lagu-lagu ciptaan saya pula terapi untuk spiritual. Jadi kami buat box ini dengan di dalamnya ada doa dan zikir dalam bentuk lagu serta ada hadiah daripada Aura Rezeki, khusus sempena Maulidur Rasul,” jelas Daqmie tentang kerjasamanya dengan Aura Rezeki sewaktu ditemui di pejabat Aura Rezeki, baru-baru ini.

Lagu-lagu yang terdapat dalam box tersebut adalah Doa Pagi dan Petang, Doa Ibu Bapa, Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahailalah, Allahu Akhbar, Selawat dan Salam, Kasih Yang Dirindu, Rahmatal La Aamin dan Keluarga Aura Rezeki. Kelahiran lagu-lagu ini juga merupakan album baharu bagi Daqmie sejak 2016, yang tampil dengan album Budi.

“Dah sampai masa untuk saya kembali aktif menyanyi. Sebelum ini saya seronok bekerja di belakang tabir. Perasaan ini lain macam rasanya. Dalam situasi sekarang, suasana studio tak macam dulu. Jadi saya mahu ke depan seperti dulu,” akuinya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JMV Global Sdn. Bhd., dan pengasas Aura Rezeki, Julinda Miswan berkata, bingkisan Maulidur Rasul ini adalah program yang singkat dirancang. Namun atas izin Allah persefahaman antara kedua-dua pihak dan proses rakamannya sangat mudah.

Daqmie turut mendendangkan salah sebuah lagu yang terdapat dalam Box Kasih & Rindu Aura Rezeki.

“Maulidur Box Kasih dan Rindu ini adalah gabungan terapi menerusi mandian garam bukit Malaya dan album digital Daqmie yang mengandungi alunan zikir dan lagu-lagu terbaharu Daqmie. Setiap kita ada cara yang berbeza menyampaikan rasa kerinduan kepada Baginda Rasulullah SAW. Inilah cara saya dan Daqmie menyampaikan kerinduan kami.

“Moga melalui perantaraan bingkisan ini Allah suka apa yang kami usahakan. Maulidur Rasul Box Kasih dan Rindu ini dapat membantu menjadi terapi diri dan dapat membantu barisan pengedar saya dan juga dapat menambah pendapatan. Dengan keadaan sekarang, ramai yang kehilangan sumber pendapatan. Insya-Allah menerusi Maulidur Rasul Box ini dapat membantu lebih 5,000 pengedar saya dan menambah baik nilai kehidupan mereka,” katanya berharap agar projek ini dapat memberi manfaat kepada yang menggunakannya.

Walaupun projek ini mengambil masa singkat, namun perkenalan antara JM dengan Daqmie sudah lama dan penyanyi itu sering menjadi tetamu untuk program Aura Rezeki. Daqmie juga adalah pencipta lagu korporat untuk Aura Rezeki.

“April lepas saya hubungi Daqmie minta buat lagu rancak. Saya minta satu saja tapi Allah yang menentukan, Daqmie bukan bagi satu tapi 10 lagu baharu. Pada 1 Muharam, selepas Subuh, Daqmie hubungi kata ada proposal nak saya lihat. Saya ni jenis simple dan faham dengan keadaan sekarang. Memang kita ada simpanan tapi berapa lama boleh bertahan.

“Saya anggap diri sebagai perantara bagi sesiapa saja. Saya tak ada harta yang banyak untuk dibahagi-bahagikan tapi mungkin melalui cara ini saya dapat membantu pihak Daqmie dan sesiapa saja yang terlibat dalam projek ini,” katanya ikhlas.

Untuk peringkat awal hanya 5,000 Box Kasih & Rindu Aura Rezeki yang boleh dibeli menerusi ejen-ejen Aura Rezeki dengan harga RM70 untuk setiap kotak.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply