Urband Method kembali selepas lama menyepikan diri.

Oleh Khadijah Ibrahim

BAGI peminat irama hip hop tempatan, mungkin mereka lebih mengenali kumpulan K-Clique yang berasal dari Sabah. Untuk pengetahuan anda, selain K-Clique terdapat sebuah lagi kumpulan hip hop yang tidak kurang hebatnya iaitu Urban Method yang berasal dari Pulau Pinang.

Sebenarnya, kumpulan yang dianggotai oleh Mahadhir Mohd Ismail, 39, Mohd Munawir Anuar, 40, Hazairi Basha Jamel Basha, 39, Muneer Khan Nazir, 37 dan Ahmad Sayuti Ibrahim, 39 sebelum ini popular dengan lagu duet yang diberi nafas baharu, Wajah Rahsia Hati bersama primadona negara, Ogy Ahmad Daud yang juga merupakan penyanyi asal lagu tersebut.

Atas sokongan peminat dan rakan-rakan, selepas mendiamkan diri buat seketika kini Urban Method tampil untuk mewarnai persada seni tanah air dengan lagu Domo Arigato. Lagu yang diberi judul dalam bahasa Jepun itu bukan sahaja sebagai buah tangan baharu Urban Method, malah intipatinya juga menceritakan kenangan manis lima sahabat bersama.

Untuk kekal dalam industri muzik, Urban Method akui mereka perlu ikut trend semasa.

Domo Arigato yang mencipta kenangannya tersendiri buat anggota Urban Method. Istimewanya juga, lagu ini telah mendapat sentuhan daripada penyanyi dan komposer Damian Mikhael, Alzy serta Urban Method sendiri yang turut mencipta liriknya.

“Lagu ini menceritakan mengenai reunion kami yang telah berkawan baik selama 16 tahun. Domo Arigato bukan sahaja tentang kemunculan semula Urban Method, malah ia juga mengimbau kembali tali persahabatan kami dan juga penghargaan buat peminat.

“Terima kasih, thank you mungkin dah biasa. Jadi kami memilih Domo Arigato untuk menunjukkan kelainan yang ditampilkan kali ini dan juga ekspresikan penghargaan kami buat semua,” kata Mahadhir.

Lagu Domo Arigato yang menjalani rakaman di Studio 360 Music Production hanya mengambil masa tiga hari untuk proses rakaman, suntingan dan adunan. Sementara itu, Kamal Ridzuan pula bertindak sebagai pengarah muzik untuk lagu tersebut.

“Tidak lengkap sekiranya Domo Arigato dilancarkan tanpa muzik video. Di sebalik pembikinannya yang diarahkan oleh Kamal Ridzuan, ia hanya mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan. Cuma penerbitannya telah tertunda untuk beberapa ketika berikutan pandemik yang melanda negara” kata Munawir pula.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula diperkenalkan, banyak aktiviti-aktiviti seni terpaksa dihentikan, malah ada di antara mereka yang mempunyai pekerjaan sendiri turut terjejas. Namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk membuat persiapan kemunculan semula.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada setiap ahli Urban Method sendiri. Walaupun kami dah lama berjauhan, ada pekerjaan dan keluarga sendiri namun kami punya hubungan seperti adik-beradik itu masih utuh.

Domo Arigato single baharu kisah tentang persahabatan Urban Method.

“Masing-masing saling memberi sokongan dan kekuatan persahabatan kami itulah membuatkan terjadinya kemunculan semula ini,” tambah Hazairi.

Dalam pada itu, Urban Method akui terkejut dengan perubahan di dalam industri muzik tanah air. Jika dahulu, segala-galanya ditentukan menerusi penghasilan album namun kini ia berubah seiring dengan kemajuan teknologi.

“Untuk kekal dalam industri bukannya mudah apatah lagi jika dinilai dari segi populariti yang sedia maklum ada naik dan turunnya.

“Kami pun perlu mengikut peredaran masa dan kehendak para pendengar. Jadi kami bersedia sekiranya ada penyanyi-penyanyi yang sudi berkolaborasi dengan Urban Method kelak,” kata Muneer.

Biarpun begitu, mereka bersyukur kerana rakan-rakan seperjuangan seperti Damian Mikhail, Nico G dan Altimet banyak memberikan sokongan kepada mereka khususnya bagi kemunculan semula ini.

“Kami masih lagi akan kekal dengan konsep hip-hop R&B kerana itulah identiti Urban Method sebelum ini. Bermula dari ‘underground’ sehingga berjaya masuk ‘mainstream’ segalanya tidak akan terjadi tanpa sokongan dari peminat dan rakan-rakan,” kata Sayuti.

Lagu ‘Domo Arigato’ boleh diperdengarkan melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music bermula 31 Oktober 2021. Manakala video muzik lagu Domo Arigato ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Urban Method Music.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply