FOTO: SHAHID SIDDIQI from Karachi, Pakistan, CC0, via Wikimedia Commons.

HAMPIR setiap tahun Negara kita menyambut kedatangan tarikh istimewa 12 Rabiul Awal; hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat buat seluruh umat Islam tidak kira di mana mereka berada.

Sambutan ini telah bermula sejak kelahiran baginda Rasulullah SAW oleh datuk baginda Abdul Mutalib di atas rasa kegembiraan dan kesyukuran. Walau bagaimanapun cara dan pengisian sambutan ini berbeza dan tidak sama dengan apa yang berlaku pada hari ini.

Tujuan sambutan Maudilur Rasul pada hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menzahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran atas anugerah Allah kepada kita dengan perutusan seorang Rasulullah penamat para nabi. Pembugaran ini penting bagi kita umat Islam yang tidak pernah bersemuka dengan baginda Rasulullah SAW. Ia berlainan dengan keluarga dan para sahabat baginda SAW yang hidup bersama dapat melihat setiap perbuatan, sifat serta mendengar perkataan dan takrir (penetapan/pengukuhan) Baginda SAW.

Di samping itu, ia diharapkan dapat menanam rasa kecintaan kepada baginda Rasulullah SAW dengan mengingati sumbangan dan ajarannya kepada kita hari ini melalui lisan para guru dan ulama pewaris para Nabi. Mereka menyahut seruan Nabi SAW agar menyampaikan apa yang diajar oleh Baginda SAW kepada umat manusia sebagaimana maksud hadis: sampaikan daripadaku walaupun satu ayat (Riwayat Bukhari) dan sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi…(Riwayat Tirmizi, Abi Daud dan Ibn Majah).

Apa yang menjadi persoalan adalah cara sambutan ini dilaksanakan. Adakah ia melanggar hukum dan mengundang kemurkaan Allah SAW atau sebaliknya? Malah ada yang berpendapat ia adalah bida`ah dan perbincangan berlanjutan apabila hujah dikemukakan dari sudut bid`ah hasanah (baik) dan sayyi`ah (buruk). Ada pandangan yang lebih ekstrim dengan mengatakan sambutan Maulidur Rasul ini haram dan tidak selari dengan Islam. Malah ada juga pendapat yang mengatakan bahawa sambutan ini menyerupai amalan agama lain.

Fiqh Islam mengajar kita banyak prinsip antaranya adalah matlamat tidak menghalalkan cara. Aplikasi prinsip ini dalam aktiviti sambutan Maulidur Rasul perlu difokuskan kepada dua aspek iaitu niat dan cara sambutan. Pengisian sambutan Maulidur Rasul perlu diteliti agar ia bukan berbentuk suatu pemujaan dan pemujian melebihi atau melampaui keagungan Allah SWT. Satu lagi prinsip yang memandu kita dari aspek yang lain iaitu meninggalkan perkara yang sia-sia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: antara [bukti] keindahan Islam seseorang itu [adalah] meninggalkan perkara yang tidak berfaedah baginya. (Riwayat Abi Daud RA)

Umum mengetahui bahawa sambutan Maulidur Rasul bukan suatu ibadah yang berada dalam salah satu kategori wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Walau bagaimanapun, pengisian sambutan boleh berubah menjadi wajib sekiranya seseorang bernazar melakukan amalan sunat seperti berpuasa pada hari ulang tahu kelahiran Rasulllah SAW, menyembelih binatang yang halal disembelih dan sebagainya.

Sambutan Maulidur Rasul bukan suatu ibadah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan ia bukan diwarisi daripada Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya ia merupakan suatu usaha untuk menggalakkan umat Islam berpegang dengan ajaran Islam yang disampaikan oleh Baginda SAW.

Oleh itu tidak timbul isu pembohongan atau bid’ah yang disandarkan kepada Nabi SAW sebagaimana kita sedar dan faham sabda Nabi SAW yang bermaksud: …barangsiapa yang sengaja menyampaikan perkara dusta ke atasku, maka tempatnya adalah dalam neraka… ( Riwayat Bukhari, Muslim, ibn Majah dll)

Misi kenal Rasulullah SAW melalui program sambutan Maulidur Rasul jelas agar umat Islam kenal dan cinta serta kembali kepada ajaran Islam dan meninggalkan larangan sebagaimana yang disampaikan oleh Baginda SAW. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: tidak (sempurna) iman kamu sehingga cintamu kepadaku melebihi cinta kamu kepada anak, bapa dan manusia seluruhnya.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jelas di sini bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang paling berhak dicintai oleh umatnya selepas cinta kepada Allah SWT Pencipta sekelian alam. Mana mungkin kita membenci susuk tubuh orang yang menyelamatkan dan mengeluarkan kita daripada kegelapan ilmu agama kepada cahaya keimanan serta mengajar kita mengenal Allah Tuhan yang layak disembah dan dipuja.

Visi cinta Rasulullah dicapai melalui misi kenal Rasulullah SAW. Pepatah ada mengatakan “ tak kenal maka tak cinta”. Umat Islam disajikan dengan penulisan buku-buku, filem, drama, syair, gurindam, lagu, pentomin dan pelbagai lagi yang memperkenalkan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh yang patut diikuti oleh generasi baru dalam kehidupan seharian. Ia selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah model yang baik; bagi mereka yang mengharapkan Allah dan hari akhirat serta banyak berzikir dengan nama Allah. (Al-Ahzab: ayat 21)

Kesimpulannya sambutan maulidur rasul adalah manifestasi cinta kepada Baginda Rasulullah SAW dalam usaha menuju gaya hidup Islam dan pembangunan Negara makmur. – BebasNews

 

Please follow and like us:

Leave a Reply