KUALA LUMPUR – Individu yang mempunyai rekod dan berakhlak buruk tidak sesuai dijadikan calon untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Mereka yang mempunyai rekod buruk dan suka memaki hamun bukanlah calon PRN yang patut ditampilkan oleh PKR.

Sambil mengingatkan parti itu supaya tidak mengambil jalan singkat atas nama strategi berkata, tindakan menerima mereka yang tidak berprinsip adalah satu kesilapan yang menghakis keyakinan rakyat, kata beliau dalam catatan di Twitter.

Naib Presiden PKR itu berkata, beliau membuat kenyataan itu sebagai rasa tanggungjawab sebagai rakyat, pengundi dan aktivis veteran PKR serta Pakatan Harapan (PH).

“Rakyat menjadi mangsa berdepan risiko wabak Covid-19 gara-gara perebutan kuasa dan kekayaan sesama pimpinan Umno/BN/PN.

“Mungkin ada keghairahan seorang dua pimpinan PKR yang melihat ini peluang untuk menjadi orang besar di Melaka, tetapi janganlah itu mempengaruhi keputusan dengan mencari jalan pintas.

“Kalau tak nak dengar pun lantaklah, tapi rakyat akan menilai,” katanya.

Sebelum ini, empat bekas ADUN Melaka yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri itu dilaporkan mahu bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka dan turut menemui Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim serta pemimpin PH lain di sebuah hotel pada Isnin lalu untuk membincangkan perkara itu.

Anwar hari ini dilaporkan berkata, kehadiran bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron dan tiga bekas ADUN lain dalam majlis perjumpaan ahli PKR negeri itu kelmarin hanya bertujuan untuk mengucapkan terima kasih.

PRN Melaka akan diadakan 20 November ini, selepas Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan 4 Oktober lalu susulan tindakan Idris (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan mereka kepada kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.- BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply