Razarudin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada 398.2 kg dadah bernilai RM14.33 juta yang dirampas sambil diperhatikan Ayob Khan (dua dari kiri) dalam sidang media di IPK Johor.

JOHOR BAHRU – Pihak polis telah berjaya menumpas cubaan menyeludup 14 guni berisi dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM14.33 juta dan berkeupayaan menampung keperluan hampir dua juta penagih.

Dadah seberat 398.2 kilogram itu dibawa masuk menggunakan kontena berisi biji kopi dengan menjadikan beberapa Pelabuhan termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, sebagai pusat transit dari Guatemala, sebelum dihantar ke Filipina, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain.

Beliau berkata, aktiviti sindiket dadah antarabangsa itu terbongkar hasil perkongsian maklumat dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) yang memaklumkan kontena tersebut disyaki membawa muatan dadah.

“Kita percaya sindiket ini menjalankan aktiviti penyeludupan dadah melalui jalan laut dari luar negara dan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diseludup keluar ke negara ketiga dengan mengisytiharkan sebarang barangan sah.

“Dadah ditemukan dalam kontena yang membawa muatan 100 guni biji kopi. Bagi mengelakkan daripada dikesan, bungkusan dadah itu disimpan dalam guni bersama-sama serbuk pencuci,” kata beliau dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sambil mengatakan tiada tangkapan dibuat setakat ini, Razarudin menjelaskan, kontena berisi biji kopi yang turut membawa dadah dibawa dari Guatemala sebelum berpindah kapal di Panama, Shanghai, China dan PTP sebelum dibawa ke Manila, Filipina.

“Siasatan masih dijalankan dengan bantuan polis antarabangsa bagi membantu mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply