JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ‘murka’ terhadap sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah-sarap ke dalam parit, longkang dan sungai sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat terutamanya pada musim tengkujuh.

Baginda bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat yang melanda kawasan bandar raya ini bulan lalu berpunca daripada sistem saliran tersumbat akibat dipenuhi sampah-sarap dan sisa binaan.

Justeru, baginda bertitah supaya masyarakat lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang.

“Apabila hujan dalam jumlah yang banyak dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan. Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar.

“Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan. Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir,” titah baginda dalam satu kenyataan yang disiarkan laman sosial Facebook baginda, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menitahkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di Johor.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terlibat dengan membuang halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama.

“MBJB memperuntukkan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun. Sikap segelintir rakyat kita amat dikesali.

“Saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi ‘hotspot’ banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif melibatkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply