Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Foto TheStar
Oleh Akasia Abdullah

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam hari ini menerima `tamparan’ hebat apabila Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini memutuskan bahawa badan tersebut telah melanggar salah satu peruntukkan undang-undang dalam Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976.

Lebih parah lagi, badan tersebut juga diarahkan untuk membayar ganti rugi (jumlahnya akan ditaksirkan kemudian) kepada peguam senior, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut panel tiga hakim yang dipengerusikan Tan Sri Rohana Yusuf, Majlis Peguam sepatutnya merujuk usul yang dikemukakan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan disokong oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri VC George yang antara lainnya mempertikaikan tindakan Muhammad Shafee menyertai `roadshow’ mengenai kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan menyertai `roadshow’ itu didakwa melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang mana-mana peguam untuk mencari publisiti untuk diri sendiri.

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli ketika membaca keputusan tersebut menyatakan, rayuan pada hari ini hanyalah menjurus kepada persoalan sama ada Majlis Peguam boleh dipertanggungjawabkan kerana melanggar tanggungjawab statutorinya.

“Rayuan ini tidak melibatkan isu saman fitnah atau konspirasi untuk memfitnah mahupun sama ada Muhammad Shafee bersalah atau sebaliknya atas pertuduhan salah laku,”kata hakim itu.

Menurut Seksyen 99(1) LPA 1976, kata Hakim Abdul Rahman, sebarang dakwaan salah laku seseorang peguam atau pelatih undang-undang hendaklah dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Peguam bela dan Peguam cara secara bertulis.

Kata hakim itu, sebagai senior dalam Majlis Peguam, Thomas dan George sepatutnya tahu bahawa usul mereka itu merupakan satu aduan salah laku dan sepatutnya merujuk terus kepada Lembaga Tatatertib.

“Adakah kedua-dua peguam senior itu yang usul mereka itu sebenarnya satu aduan berhubung salah laku peguam bela dan peguam cara seperti mana dalam peruntukkan Seksyen 99(1) LPA? Adalah sesuatu yang naif untuk memikirkan sebegitu,” kata hakim Abdul Rahman.

Hakikat bahawa aduan tersebut di bawah samaran sebagai satu usul ia tetap tidak mengubah isinya yang menyentuh mengenai salah laku peguam bela dan peguam cara.

Apa yang penting ialah kandungan tuduhan salah laku tersebut dan bukannya label atau cara ia difailkan yang menentukan sama ada ia adalah satu aduan, usul atau apa sahaja, ujar Hakim Abdul Rahman.

Walaupun usul tersebut tidak dibincangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-69 kerana terdapat perintah sekatan namun tindakan Majlis Peguam menyiarkan usul tersebut di laman sesawangya dan dakwaan salah laku itu disebarkan kepada 15,000 orang ahlinya yang kemudian dilaporkan oleh media, mengakibatkan Muhammad Shafee diprejudiskan.

Peguam, Datuk S. Ambiga ketika berhujah menyatakan AGM tersebut tidak jauh bezanya dengan prosiding Lembaga Tatatertib kerana ia dilakukan di ‘belakang pintu yang tertutup’.

“Perbezaan prosiding yang dijalankan oleh Majlis Peguam ialah ia adalah salah manakala prosiding oleh Lembaga Tatatertib mengikut peruntukan undang-undang. Apa yang Tommy Thomas dan VC George buat adalah mengetepikan peruntukan mandatori Seksyen 99(1) LPA. Ini adalah satu perkara yang sukar difahami apabila dilakukan oleh ahli Majlis yang senior,” kata hakim itu.

Berdasarkan jawapan yang diberikan sewaktu perbicaraan kes tersebut, jelas menunjukkan bahawa Thomas dan George berpendapat bahawa Muhammad Shafee telah melanggar peraturan dan mereka berusaha agar Majlis Peguam bersependapat dengan mereka.

“Jika dilihat dari sudut ini, Muhammad Shafee boleh sahaja menyatakan bahawa Tommy Thomas dan Tan Sri VC George terlibat secara langsung dalam menyebabkan Majlis Peguam melanggar Seksyen 99(1) LPS 1976,” kata hakim Abdul Rahman.

Tambah hakim itu, tindakan Majlis Peguam yang mempunyai pengetahuan tentang prosedur menangani aduan tetapi tetap membenarkan usul tersebut dikemukakan oleh Thomas dan George untuk dibentangkan dan diputuskan pada AGM tersebut bukanlah sesuatu perkara yang wajar dilakukan. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply