MUKHAIRI Ajmal Mahadi (empat dari kiri) disarungkan lilitan kapten oleh Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM. - Foto FAM

SEJAM minit permainan di Amman, Jordan melayakkan Mukhairi Ajmal Mahadi dilantik sebagai kapten skuad Bawah 22 Tahun Malaysia bagi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC 2021 di Mongolia mulai Isnin ini.

Perantara Selangor FC itu masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-61 siri persahabatan tahap 1 antarabangsa ketika skuad senior Harimau Malaya dibelasah Jordan 4-0 dan Uzbekistan 5-1 pada 6 dan 9 Oktober lalu.

Mukhairi, 20, mendapat kepercayaan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe untuk merah penampilan sulung senior antarabangsanya apabila menggantikan Nazmi Faiz Mansor menghadapi tuan rumah di Stadium Raja Abdullah II.

Laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melaporkan, skuad B22 kebangsaan kendalian warga Australia, Bradley Maloney itu menerima kata-kata perangsang daripada Presiden persatuan, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

Hamidin turut melakukan gimik menyarungkan lilitan lengan kapten kepada Mukhairi manakala dua benteng, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ahmad Zikri Mohd. Khalili dinamakan sebagai penolong ketua pasukan.

KESEBELASAN utama B22 Malaysia yang menewaskan Kedah Darul Aman FC 2-0 dengan kaptennya, Ahmad Zikri Mohd. Khalili (14). – Foto FAM

Zikri, 19, bek kiri Selangor FC, menjadi kapten ketika mereka mengalahkan Kedah Darul Aman FC 2-0 dan ditewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 dalam siri persahabatan di Arena MBSJ, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Skuad B22 Malaysia bakal berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada pukul 10 malam ini untuk mengharungi saingan Kumpulan J kelayakan, menentang Laos (Isnin ini), Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) di Stadium MFF.

Dalam satu lagi pemanas badan ketika skuad B22 menumpaskan Penang FC 2-1, Firdaus Irman Fadhil muncul kapten namun penjaga gol Selangor FC 2 ini tidak terpilih ke Mongolia bersama-sama lapan lagi pemain.

Maloney sebaliknya memilih Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin dan Muhammad Azri Ab. Ghani untuk dipertaruhkan di gawang.

Tiga lagi senior Harimau Malaya dalam skuad B22 ini ialah Quentin Cheng, 22, Mohamad Hakimi Abdullah, 22, dan Luqman Hakim Shamsudin, 19, penyerang KVK Kortrijk, Belgium yang membarisi kesebelasan utama menentang Uzbekistan.

Mereka walau bagaimanapun hanya menyertai skuad B22 sejak kelmarin setelah terpaksa menghabiskan kuarantin dua minggu sebagai langkah pencegahan Covid-19 sekembalinya dari Amman.

Hanya juara 11 kumpulan dan empat naib juara terbaiknya, akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B23 anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022.

Keserasian Annil Vigneswaran, 18, yang berpangkalan di kelab Jerman, SGV Freiberg dengan skuad ini turut menimbulkan tanda tanya apatah lagi dia mendapat ‘lampu hijau automatik’ ke Mongolia tanpa menjalani latihan pusat di tanah air terlebih dulu.

“Kami akan tengok apa yang diperlukan dalam kejohanan ini,” katanya kepada BebasNews, mengenai sama ada bek tengah kelab divisyen lima Jerman itu mampu turut dialih suai dengan Luqman di bahagian serangan B22 negara.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply