Harap lagu Vaksin Rindu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai.

Oleh Khadijah Ibrahim

LAMA juga tidak mendengar lagu baharu dendangan Yasin Sulaiman, sampaikan ada yang ingat, penyanyi lagu Mimpi Laila dan Salsabila sudah ‘pencen’ menyanyi dan banyak melakukan kerja belakang tabir.

Sebenarnya, Yasin tidak pernah berhenti menyanyi dan beliau hanya menunggu waktu yang sesuai untuk membuat penampilan. Terkini, beliau muncul dengan single Vaksin Rindu, di mana beliau juga turut memberikan sedikit sentuhan pada melodi dan lirik. Asalnya, Vaksin Rindu merupakan ciptaan AkhMas dan lirik pula kolaborasi Suhaimi dan Ghazali.

Yasin, 46, berkata, beliau tidak berfikir panjang ketika ditawarkan untuk menyanyikan lagu Vaksin Rindu selain tertarik dengan lirik dan tema yang dibawa lagu berkenaan.

“Saya mendapat tawaran menyanyikan lagu ini bulan lepas. Apabila saya dengar melodi dan baca lirik, saya tak fikir panjang untuk kata ya. Saya terus terima dan nak buat. Lagi pula, saya suka idea yang dibawa Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia ini.

Yasin tidak fikir lama untuk bersetuju menyanyikan lagu Vaksin Rindu

“Dalam masa sama, saya lebih kepada nak sokong kempen dijalankan mereka. Saya nak raikan matlamat kempen mereka menerusi lagu Vaksin Rindu ini. Melihat usaha mereka ini, ia sesuatu yang bagus kerana ada kesedaran dan mahu tingkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap suntikan vaksin di kala virus Covid-19 masih melanda negara,” katanya.

Jelas Yasin atau nama penuhnya, Mohamad Yasin Sulaiman pada awalnya beliau akan menyanyi sahaja namun sifat komposer yang ada dalam diri membuatkan beliau terdetik untuk memberi sedikit sentuhan.

“Pada awalnya memang saya kena menyanyi saja. Apabila tengok lirik, ia ‘cute’ juga. Lagu sederhana dan santai saja. Disebabkan karya ini daripada NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan), saya tidak boleh ‘treat’ mereka macam orang lain. Jadi, saya ada baiki sikit pada bahagian lirik supaya lagu itu lebih baik hasilnya.

“Sebelumnya saya minta izin dan mereka okey. Ketika dapat tawaran itu pun, muzik sudah siap. Jadi, saya bantu dalam proses ‘mixing’ sikit. Alhamdulillah, hasilnya diharap dapat diterima baik peminat dan sama-sama kita menghayati lagu ini,” terangnya.

Ditanya mengenai kewujudan golongan yang masih belum atau menolak vaksin, Yasin berkata perkara itu adalah pendirian dan hak masing-masing.

“Di sekeliling saya ramai tak ambil vaksin lagi dengan alasan pelbagai atau mungkin juga mereka berasakan tak nak terbabit dengan agenda vaksin. Ikut kepercayaan masing-masing. Tapi bagi saya ia tak jadi masalah pada negara pun. Sebab kadar vaksinasi seluruh negara pun sudah mencapai 90 peratus.

“Lagi satu, kita tak boleh paksa mereka. Dalam perubatan pun sama. Cuma, pengambilan vaksin ini adalah untuk kesedaran bersama bagi melindungi diri kita,” katanya.

Harap lagu Vaksin Rindu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai.

Bagaimanapun, menurut Yasin mereka yang digelar anti vaksin ini bukanlah ancaman buat mereka yang sudah mengambil suntikan vaksin.

“Saya tak raikan pendapat mereka, tapi saya hormat pendirian mereka. Sebab soal masukkan sesuatu dalam badan adalah atas diri sendiri. Jadi, apa pun keputusan mereka, itu hak mereka.

“Bagi saya, buat masa sekarang ini bukan satu masalah. Melainkan kalau majoriti yang tak nak vaksin, itu baru masalah. Anti vaksin bukanlah ancaman buat kita. Kalau tengok sekarang pun kes harian kita makin turun. Tak perlu nak kecoh atau saling bergaduh di media sosial. Pada akhirnya yang tak nak ambil tetap tak nak ambil,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia berharap lagu Vaksin Rindu yang diterbitkan mereka dapat menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia selepas hampir dua tahun bergelut dengan situasi pandemik Covid-19.

Lagu Vaksin Rindu ini juga bertepatan dengan NGO ini yang mana mereka adalah persatuan yang aktif dan giat memberi sumbangan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pihak Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia berharap lagu Vaksin Rindu yang akan dilancarkan secara rasmi pada 21 Oktober ini dapat menaikkan semangat selepas musibah yang menduga rakyat tempatan.

Bagi yang ingin membantu dan memberi sumbangan boleh ke arifnasional.com atau dapatkan cenderahati di vaksinrindu.com.

-BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply