Barisan penyanyi yang akan mendendangkan lagu malar segar sempena konsert Rockestra Nostalgia pada 30 Oktober ini.

Oleh Khadijah Ibrahim

SEDIKIT demi sedikit kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk penggiat seni merupakan peluang yang harus digunakan sebaik mungkin.

Kira-kira setahun lebih anak seni terutama penyanyi dan pemuzik tidak berpeluang mengadakan persembahan pentas. Walaupun ada yang mengadakan persembahan virtual, suasananya tak sama apabila menyanyi di hadapan penonton.

Bagi yang rindu untuk menonton persembahan penyanyi secara langsung, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke Panggung Anniversary, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2021 (Sabtu), pukul  9 malam.

Pada tarikh dan waktu berkenaan barisan penyanyi genre rock  seperti Rahim Maarof, Ito Blues Gang, Man Bai, Ruhil Amani, Rahmad Mega dan Asheed Def Gab C akan menghibur orang ramai menerusi konsert Rockestra Nostalgia yang bakal diiringi oleh  45 orang pemuzik Orkestra DBKL.

Konsert secara percuma oleh barisan penyanyi popular tanah air di Panggung Anniversary nanti.

Pasti ramai yang rindu nak dengar lagu Kawan, dendangan Ruhil Amani Hussin, Cinta Kristal oleh Rahim Maarof, Kau Ilhamku (Man Bai), Bayangan Gurauan (Rahmad Mega) Cinta Sakti (Asheed Def Gab C) dan Khatulistiwa (Ito Blues Gang). Kesemua lagu tersebut bakal mengembalikan nostalgia penonton yang hadir ke konsert tersebut.

Penganjuran persembahan berprestij ini adalah hasil kerja keras Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) DBKL  yang merupakan agensi pengendali Orkestra Kuala Lumpur DBKL yang amat berpengalaman mengiringi ratusan selebriti melakukan persembahan semenjak 1988 lagi.

Konsert yang bakal dihoskan oleh Nadia Hasnan dan Lando Zawawi,  yang dipersembahkan secara percuma kepada orang ramai ini pastinya amat bermanfaat kepada pelbagai sektor berkait terutamanya sektor pelancongan di ibu negara.

Kemunculan Ruhil Amani (tengah) dan Ito (kanan) dinanti oleh para peminat.

Malah konsert tersebut juga merupakan ruang rihlah (percutian) kepada para warga kota yang bakal hadir secara langsung mahupun menonton melalui siaran digital. Ianya juga sebagai satu inisiatif DBKL di dalam menghidupkan kembali ekosistem seni budaya yang bakal memberi manfaat yang amat besar kepada para penggiatnya.

Bagi memastikan perjalanan konsert berjalan lancar dalam situasi terkawal, hanya 250 penonton saja yang dibenarkan berada di lokasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).  Untuk hadir menonton, orang ramai perlu mendapatkan pas masuk terhad dengan melayari rockestra.wasap.my atau hubungi 018-2454612.

Untuk yang tak berpeluang untuk bertandang ke Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur, jangan risau anda masih berpeluang menonton rakaman persembahan penyanyi kesayangan di laman YouTube Rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply