MELAKA United FC disekat sementara lesen kebangsaan Liga Super 2022 dan gagal beroleh Lesen AFC. - Foto MUFC

KUALA LUMPUR – MELAKA United FC didenda RM15,000 dan diberikan amaran kerana melanggar tarikh akhir penyelesaian tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 30 September lalu.

Pelanggaran itu menyebabkan lesen kelab kebangsaan untuk Melaka United FC bermain pada Liga Super 2022, disekat sementara sehingga mereka berjaya melangsaikannya pada 20 November ini dan menghantar bukti pembayaran itu kepada Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Siaran media MFL hari ini, melaporkan, “Melaka United FC gagal mendapatkan lesen AFC (untuk menyertai Liga Juara AFC dan Piala AFC 2023 jika layak) kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pelesenan AFC.”

Melaka United FC lapor siaran itu, merupakan antara 12 pasukan Liga Super 2021 yang diberikan lesen kelab kebangsaan bagi menyertai saingan musim 2022 oleh Badan Penilaian Awal Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif.

“Pasukan-pasukan lain termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, UiTM FC, Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Sabah FC, Penang FC dan PJ City FC.

“Sepuluh daripadanya iaitu JDT, KDA FC, UiTM FC, Perak FC, Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Sabah FC, Penang FC dan PJ City FC juga diberikan lesen AFC manakala Sri Pahang FC tidak memohonnya,” lapor siaran itu.

Setiap pasukan kata MFL, wajar dinilai dan mematuhi enam kriteria utama pelesenannya iaitu kesukanan, prasarana, peribadi dan pentadbiran, undang-undang, kewangan dan perniagaan yang dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2021 dengan lesen kelab kebangsaan dan AFC hanya sah selama semusim.

Lesen itu boleh ditarik balik jika ada pasukan Liga Malaysia yang didapati melanggar artikel peraturan berkenaan atau tidak lagi memenuhi mana-mana syarat untuk pengeluarannya.

“Lima pasukan Liga Perdana 2021 pula diberikan lesen kelab kebangsaan untuk kekal bersaing musim depan mahupun ke Liga Super 2022 jika layak iaitu Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.

SARAWAK United FC diberi lesen kebangsaan secara bersyarat sehingga 20 November ini oleh MFL. – Foto SUFC

“Satu lagi pasukan Liga Perdana 2021, Sarawak United FC diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat – mesti menyerahkan pembayaran dan bukti penyelesaian tunggakan LHDN 2021 kepada MFL selewat-lewatnya 20 November ini. Pasukan ini juga gagal mendapat Lesen AFC kerana gagal memenuhi syarat.

“Badan Penilaian Awal MFL juga akan meminta lebih banyak maklumat kewangan daripada Sarawak United FC kerana keraguan kepada kemampuan pemegang lesen pasuka itu sehingga akhir musim ini,” lapor siaran berkenaan.

Sekiranya Sarawak United FC gagal bekerjasama atau memenuhi syarat, sekatan berdasarkan Artikel 2.4 Peraturan Kelab MFL 2021 boleh dikenakan termasuk larangan perpindahan pemain, penyingkiran pasukan ke divisyen bawah dan pengeluaran lesen.

MFL juga menuntut setiap pasukan menyerahkan surat pernyataan berkanun yang membuktikan bebas daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai, KWSP, LHDN dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada MFL pada 15 Disember ini menjelang Liga Super dan Liga Perdana 2022.

Sekiranya pasukan-pasukan yang telah memperoleh lesen musim 2022 tetapi masih mempunyai tunggakan berkenaan, maka larangan perpindahan pemain segera akan dikenakan kepada mereka, lapor siaran itu lagi. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply