KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengheret dua pegawainya ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas kesalahan mendapatkan suapan berbentuk wang tunai.

Kedua-dua pegawai memperdaya seorang penguatkuasa supaya menyerahkan wang RM40,000 bagi menyelesaikan kes yang disiasat Suruhanjaya berkenaan pada Khamis lalu.

Tertuduh pertama, Amir Izham Shahak, 32, yang merupakan Penolong Penguasa SPRM mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan keputusan kes akan disebut pada 24 November ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserah kepada mahkamah, kata SPRM dalam kenyataannya di sini.

Sementara itu, tertuduh kedua, Wan Kamarul Za’im Wan Mansor, 34, yang merupakan Penguasa SPRM pula mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan utama iaitu Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan pertuduhan pilihan iaitu Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserah kepada mahkamah dan menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun.

– BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply