Single baharu Hael Husaini yang berjudul Kelentang-Kelentong menggambarkan situasi semasa rakyat tempatan.

Oleh Khadijah Ibrahim

TIAP kali tampil dengan single baharu, Hael Husaini pastikan lagu tersebut berbeza daripada sebelumnya. Kali ini Hael yang gemar menggunakan judul lagu ringkas seperti Jampi, Haram dan Lara memilih Kelentang-Kelentong pula sebagai judul single baharunya.

Kerap kali kalau sebut kelentang-kelentung merujuk kepada bunyi bising kuali yang sedang dimasak di dapur tapi apa maksud Kelentang-Kelentong bagi Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 34, itu.

“Sebenarnya ilham lagu ini tercetus secara tak sengaja selepas saya muncul dalam sebuah rancangan hiburan di Indonesia, tahun lepas. Ketika itu, saya diminta untuk menyanyikan secara spontan berkenaan kuali. Jadi kelentang-kelentung itu adalah signifikasi terhadap bunyi ketukan kuali.

“Lagipun ungkapan kelentang-kelentung dalam masyarakat Malaysia juga merujuk kepada ‘tin kosong’ yang berbunyi atau keadaan riuh-rendah semata-mata secara lazimnya. Sekembalinya ke Malaysia, saya terus menghubungi Ezra dan kami terus berbincang. Saya simpan lagu ini terlebih dulu kerana masanya belum sesuai untuk diterbitkan sehinggalah kini.

Rakyat Malaysia bila dapat kelonggaran merentas negeri terus pergi bercuti termasuklah ke Langkawi.

“Jalan cerita lagu ini telah diubah ikut kesesuaian semasa di negara kita yang telah membenarkan gelembung pelancongan terhadap beberapa destinasi dalam negeri dan juga kebenaran merentas negeri.

“Ianya sebuah lagu yang mengajak kita untuk pergi berjalan atau melancong ke mana sahaja yang dibenarkan oleh kerajaan, dan ajaklah kaum keluarga mahupun rakan dan bertemulah dengan insan-insan tersayang yang kita rindui,” katanya tentang idea asal lagu tersebut.

Duta Teh Hijau jenama BOH, Nivea dan ais krim Magnum itu menambah, lagu Kelentang-Kelentong dendangannya itu memberi gambaran keriuhan suasana tatkala berjumpa dan perasaan keterujaan dek kerana menahan rindu yang terlalu lama.

Lagu rancak ala santai bergenre pop ini diberikan kelainan yang istimewa dengan suntikan irama lagu-lagu rakyat yang sering kita dengar sewaktu kecil dan mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

“Saya dan Ezra mengambil masa yang tak terlalu lama bagi penghasilan dan proses rakaman lagu tersebut dan kesemuanya dijalankan di studio rakaman milik beliau.

Kelentang-Kelentong menggambarkan keterujaan orang ramai apabila dapat pergi bercuti.

“Ini juga merupakan gandingan ‘comeback’ di antara saya bersama Ezra dalam sebuah lagu setelah single Hati yang dilancarkan pada tahun lepas kerana sibuk dengan kerja dan projek masing-masing. Sebenarnya banyak lagi projek dan karya-karya saya bersama Ezra bakal dilancarkan pada tahun hadapan,” jelasnya.

Manakala, penggambaran video muzik Kelentang-Kelentong telah dijalankan di sekitar destinasi pelancongan yang popular di Malaysia iaitu Pulau Langkawi dengan memaparkan tempat-tempat menarik yang sering dikunjungi oleh para pelancong di Pulau Legenda itu bagi menimbulkan mood percutian yang penuh keseronokan.

“Video muzik pada kali ini sangat santai dan ‘straightforward’, ia lebih kepada penceritaan tentang seseorang yang sedang bersiap-siap untuk keluar bersiar-siar di sekitar Pulau Langkawi, kemudian bertemu dengan orang-orang tersayang sambil berseronok menghabiskan waktu bersama,” katanya.

Hael berharap, pendengar jangan terlalu serius tatkala mendengar lagu ini kerana ianya sangat santai dan bersifat ‘sing-along’. Yang paling penting pendengar terhibur dan menerima lagu ini seadanya.

“Saya juga berharap agar para pendengar dapat memberi sokongan dan semangat kepada saya dan kesemua rakan komposer lain untuk terus-menerus berkarya.

“Akhir kata, jangan berhenti melawan virus ini. Namun, pada masa yang sama kita perlu menerima adanya virus ini dan belajar untuk beradaptasi dengan norma baharu. Jaga diri, jaga keluarga dan sentiasa patuhi SOP,” nasihatnya.

Idea menghasilkan lagu Kelentang-Kelentong muncul selepas Hael muncul dalam sebuah program hiburan di Indonesia.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna berkata, pada awal perbincangan mereka bercadang untuk menghasilkan lagu yang berbeza tapi Hael dan Ezra secara tidak sengaja berkongsi demo Kelentang-Kelentong dengan beliau.

“Bila mendengar demo lagu yang menarik dan unik, lalu saya tertarik dengan melodinya yang santai dan bersahaja lalu menukar fikiran untuk meneruskan dengan lagu tersebut. Semuanya berlaku secara tiba-tiba, lantas kami terus berbincang tentang garis masa lagu tersebut dan bila masa yang sesuai untuk pelancarannya.

Video muzik Kelentang-Kelentong dilakukan di sekitar Pulau Langkawi.

“Saya yakin dengan kebolehan Hael dan Ezra dalam penciptaan lagu ini. Kombinasi mereka berdua ada keserasian tersendiri dengan menghasilkan sesuatu yang hebat. Dengan adanya Kelentang-Kelentong ini, sedikit sebanyak dapat memberi kejutan buat pendengar di luar sana.

“Lagu ini juga mempunyai genre yang unik kerana Hael dan Ezra belum pernah ciptakan sebelum ini.  Saya berharap agar lagu in dapat menghiburkan hati peminat Hael Husaini di luar sana,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply