Oleh Zainal AS Rashid

KETUA Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata bukan kesalahan bagi mana-mana pertubuhan agama atau fahaman untuk menyumbang bantuan kepada pasukan keselamatan di Malaysia.

Menurut beliau tindakan Persatuan Kebajikan Bintang Utara mewakili pertubuhan Freemasons negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyumbang 5,000 pelindung muka hanyalah untuk membantu anggota keselamatan yang bertugas semasa pandemik Covid-19.

“Sebenarnya, tidak menjadi masalah sesiapapun boleh bagi sumbangan kepada pihak kita, lagi pun sumbangan pelindung muka untuk diedarkan kepada pihak polis dalam menghadapi tugasan harian, kita sama-sama berjuang mengekang jangkitan COVID-19 dan mereka tampil ke depan untuk membantu.

“Saya tidak nampak ada sebab kita boleh menghalang mereka daripada memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja kerana itu hak mereka.”

Beliau memberitahu media demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang pengamal media akhbar berbahasa Tamil, Letchumi Rajoo yang menghidap penyakit angin ahmar di kediamannya di Taman Desa Pengkalan, Ipoh pada Jumaat (22 Okt).

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan tentang inisiatif persatuan tersebut bagi pihak Freemasons menyumbang 5,000 pelindung muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh 15 Okt lepas.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply