Dari kiri, Zyanakal, Yonnyboii dan Asyraf Nasir berkolaborasi menerusi lagu Tak Sangka.

Oleh Khadijah Ibrahim

MEMANG tak dijangka, dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan lagu dendangan Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf Nasir berjaya menduduki tangga pertama Carta RIM (Industri Rakaman Malaysia) untuk enam minggu berturut-turut.

Lagu Tak Sangka terbitan Def Jam itu berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam radar muzik tempatan. Menjadi platform pengumpul data terkemuka tempatan, Carta RIM menjadi medan penentu kelarisan sesebuah lagu itu dalam kalangan pendengar.

Kredibiliti Carta RIM cukup terbukti dan hakikatnya ia menjadi rujukan semua penggiat muzik bagi mengetahui sejauh mana prestasi terkini karya mereka. Justeru, pencapaian Tak Sangka itu semestinya cukup membanggakan Def Jam Malaysia serta Def Jam Asia Tenggara (SEA) apabila karya segar itu diiktiraf dan memberi impak tersendiri.

Lebih membanggakan pihak Def Jam Malaysia, lagu itu merupakan ciptaan tiga penyanyi rap berkenaan sendiri yang rata-rata muda remaja. Paduan idea mereka benar-benar berhasil sekali gus memukau pendengar.

Pencapaian itu juga pasti menjadi hadiah paling manis buat label rakaman berkenaan memandangkan tiga permata berharga mereka bersinar dalam kalangan ramai pendatang baharu lain.

Lagu Tak Sangka benar-benar memberi kejutan kepada Zynakal, Yonnyboii dan Asyraf.

Menurut Pengarah A&R & Pemasaran serta Ketua Def Jam Recordings Malaysia, Hermond Cheng, pencapaian itu cukup besar maknanya buat mereka.

“Kami memang tahu betapa berbakat dan besar potensi tiga  penyanyi  muda  itu  dalam membawakan  angin segar dalam  industri  muzik. Tak Sangka juga antara karya yang kami sangat yakini mampu cipta evolusi. Jelas ia terbukti dengan pencapaian terbaharu itu dan semestinya dalam pada tidak jangka, kami sangat bangga mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Def Jam SEA, Joe Flizzow menyifatkan kejayaan itu menjadi alibi betapa muzik hip hop tempatan kian tinggi martabatnya.  Sebagai pejuang genre itu selama beberapa dekad, Joe turut memuji sifat berani pejuang hip hop generasi kini dalam memastikan karya mereka memiliki nilai estetika berkualiti.

“Bagi saya kejayaan lagu ini membuktikan bahawa generasi baharu pemuzik hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam penghasilan karya mereka. Ia juga menunjukkan bahawa peminat dan pendengar di negara ini amat menghargai lagu-lagu rap tempatan. Syabas kepada Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf,” katanya.

Berkongsi pencapaian manis itu, Yonnyboii mengakui kerja keras mereka untuk merealisasikan lagu itu sebelum ini ternyata sangat berbaloi. Mereka sendiri berdepan pelbagai dugaan demi memastikan Tak Sangka dapat dilancarkan. Yonnyboii juga sangat bersyukur gabungan mereka bertiga terbukti keputusan paling tepat.

“Sejujurnya kami bertiga memang tak sangka tapi pada masa sama memiliki keyakinan yang cukup tinggi terhadap lagu Tak Sangka selama ini. Persiapan yang kami buat pun bukan calang-calang. Walaupun banyak perancangan kena tunda disebabkan Covid-19, alhamdulillah kami dapat lancarkannya pada masa yang sangat tepat.

“Lagu ini cukup istimewa untuk saya dan pasukan sendiri disebabkan ia kolaborasi pertama kami bertiga.  Apabila dapat  bekerjasama  dengan rakan baik dan adik-beradik satu label rakaman, keterujaan itu lebih luar biasa. Dengan kekuatan masing-masing menjadikan lagu itu jadi lebih gah dari segi bunyi dan susunannya,” jelas Yonnyboii.

Bagi ZynAkal pula, beliau menyifatkan projek itu memberi 1,001 makna buatnya secara peribadi. Bukan sekadar meraikan pencapaian sambutan luar biasa itu, namun Zynakal akui prosesnya mengajar beliau banyak perkara. Tambahan pula ini adalah kerjasama pertamanya bersama dengan Asyraf Nasir.

“Alhamdulillah kami bertiga tak sangka yang lagu ini akan memberi impak kepada kami dan bersetuju bahawa Tak Sangka banyak membantu kami. Pencapaian ini disebabkan keserasian kukuh antara kami.  Sewaktu proses pembikinannya, itulah kali pertama saya berjumpa Asyraf dan terus boleh bekerjasama dengan begitu padu,” katanya.

Menurut Asyraf pula, beliau berharap Tak Sangka bakal menjadi ‘trademark’ atau ‘signature’ untuk tahun ini sebagai lagu semangat.  Baik pendengar hip hop tegar ataupun dari pelbagai lapisan usia lain kerana lagu ini untuk semua.

Ujarnya, beliau teringin melihat lagu ini ke acara anugerah dan pentas lebih besar jika ada rezeki.

“Bagi saya, ia (kekuatan) terletak pada ramuan-ramuan dalam lagu ini sebab Yonnyboii dan Zynakal sendiri ada stail berbeza, begitu juga saya. Walaupun terdapat perbezaan, kami bertiga ada suara hati yang sama. Itu adalah antara kekuatan utama selain irama muziknya adalah bukan irama hip hop yang klise.

“Pendengar menilai Tak Sangka sebagai sebuah lagu yang memiliki muzik bagus dan bukan sebab genrenya.  Mereka bukan melihat apa instrumen yang digabungkan dalam melodinya mahupun hasil ciptaan siapa. Apabila mereka mendengarnya, terus rasa ingin bergoyang dan menikmatinya dengan penuh keseronokan,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply