Mohd.Khairudin (kiri) meninjau program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

SHAH ALAM – Portal Jelajah Selangor Bekerja (JSB) 2021 menerima hampir 10,000 pendaftaran pencari kerja setakat hari ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, dan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, sambutan hangat tersebut disebabkan ramai mula mencari peluang kerja selepas banyak sektor ekonomi dibuka.

“JSB 2021 Siri Pertama yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini misalnya menawarkan sebanyak 3,000 peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor dan industri.

“Antara sektor pekerjaan yang ditawarkan dalam program berkenaan adalah meliputi aeroangkasa, perkhidmatan, pembuatan, pemakanan dan beberapa lagi,”katanya kepada pemberita selepas meninjau program tersebut di sini hari ini.

Mohd.Khairuddin berkata, siri pertama jelajah ini melibatkan lebih 40 majikan dan syarikat seperti Proton Edar, Parkson Corporation Sdn. Bhd., Ayamas Food Sdn. Bhd. dan lain-lain.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, program berkenaan adalah berkonsepkan temu duga secara hybrid dan fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jelasnya, temuduga secara terus hanya dibenarkan kepada mereka yang lengkap mendapatkan suntikan vakin Covid-19.

“Siri kedua jelajah ini akan diadakan di Kuala Selangor dan orang ramai dijemput hadir,” katanya.

Tambahnya, golongan belia dan individu yang mencari pekerjaan boleh mendaftar menerusi pautan www.selangorbekerja.com.my.

“Kerajaan Selangor berharap agar inisiatif ini dapat mengembalikan kerjaya kepada mereka yang terjejas dan hilang pekerjaan,” katanya. –BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply