Oleh Zainal AS Rashid

PENGARAH filem Allahyarham Mamat Khalid dianggap sebagai wira pejuang perpaduan melalui karyanya yang diterima oleh pelbagai kaum dan peringkat usia di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam kenyataan beliau hari ini berkata Mamat atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid, 58, telah memahat sesuatu yang indah melalui mesej perpaduan yang tersirat dalam karya besarnya.

“Beliau adalah seorang pengkarya, ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.

“Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Mamat Khalid juga begitu,” katanya.

Allahyarham yang terkenal dengan karya filem arahannya, termasuk ‘Zombi Kampung Pisang’ dan ‘Hantu Kak Limah’, meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River, Perak.

“Perginya Mamat Khalid juga adalah kehilangan besar kepada negara, dan saya percaya karya-karya beliau akan terus hidup dan segar di mata masyarakat Malaysia,” katanya.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply